
KUALA LUMPUR: perbandingan antara bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan penggantinya, Dato’ Ustaz Ahmad Yaakob, tidak harus dibuat secara tidak adil dan berasaskan persepsi luaran semata-mata.
Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, selepas pemergian Tok Guru Nik Aziz, ramai mula membuat perbandingan dan menilai prestasi Kelantan di bawah kepimpinan Dato’ Ahmad Yaakob berdasarkan gaya, keperibadian dan kebolehan bercakap yang berbeza.
“Ada yang mempersoalkan, kenapa beliau dipilih? Kenapa bukan yang lebih petah, lebih menonjol, lebih disukai media? Dari situlah lahir pandangan-pandangan yang membandingkan Tok Guru yang karismatik dengan Dato’ Ahmad yang tenang dan pendiam.
“Gambaran mereka seolah-olah negeri ini kehilangan sinarnya sebaik sahaja Tok Guru meninggalkan kita. Tapi ramai yang lupa, bahawa Dato’ Ahmad Yaakob dipilih oleh Tok Guru sendiri.
“Dalam ramai-ramai, beliaulah yang Tok Guru yakini mampu menyambung dasar, meneruskan visi, dan menjaga legasi perjuangan Islam yang telah dibina sekian lama,” ujar Naib Presiden PAS itu dalam media sosial miliknya.
Menurutnya, Tok Guru Nik Aziz adalah sosok luar biasa yang hadir pada zaman yang memerlukan ikon pembaharuan, namun keunikan itu tidak sewajarnya dijadikan piawaian untuk menilai semua pemimpin selepasnya.
“Tok Guru menjadi simbol perpaduan ummah, penyatu antara golongan agama dan bukan agama, penyambung antara PAS dan masyarakat awam. Beliau mengangkat martabat ulama sebagai pemimpin negeri, bukan hanya pengajar di pondok.
“Tidak adil jika Dato’ Ahmad Yaakob dinilai dengan neraca yang sama seperti Tok Guru. Beliau sendiri pernah menyebut, ‘Saya tidak boleh bawa gaya Tok Guru.’
“Beliau tidak pernah cuba meniru, sebaliknya hanya berusaha menjadi dirinya yang terbaik dalam melaksanakan amanah yang Tok Guru tinggalkan.
“Biarpun tidak petah berbicara seperti Tok Guru, beliau dikenali sebagai sosok yang jujur, berdisiplin, tenang, istiqamah, dan sangat cermat dalam mengurus pentadbiran.
“Tidak pernah bermewah, bahkan sentiasa hidup dalam kesederhanaan yang tulen,” dedahnya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu.
Mohd Amar berkata, sewaktu menjadi Timbalan Menteri Besar, Tok Guru memberikan kepercayaan penuh kepada Dato’ Ahmad untuk mengurus pentadbiran negeri, termasuk menyemak fail penting dan memastikan kelancaran kerajaan.
“Beliau sangat dihormati dalam kalangan pegawai kerajaan kerana ketekunan dan ketelitiannya. Dato’ Ahmad Yaakob berdepan cabaran zaman yang berbeza.
“Jika Tok Guru mencetuskan gelombang, beliau menjaga agar gelombang itu terus hidup. Kedua-duanya berjasa dalam medan masing-masing, dengan cara yang berbeza tetapi saling melengkapi,” tegasnya.
Beliau turut menempelak pihak yang dahulunya menentang Tok Guru, tetapi kini memuji beliau semata-mata untuk membanding-banding dan meremehkan kepimpinan PAS hari ini.
“Dulu Umno, MCA, serta pemimpin-pemimpin bukan Islam melihat Tok Guru sebagai ancaman. Hari-hari dihentam di media arus perdana, dasar Islam yang dibawa dipersoal dan dihina. Tapi selepas Tok Guru tiada, mereka pula yang memuji.
“Mereka mengangkat Tok Guru sebagai simbol integriti dan kesederhanaan. Mereka inilah yang membanding-banding dan berkata PAS hari ini tidak seperti zaman Tok Guru,” tempelaknya.
Mohd Amar menyifatkan Tok Guru Nik Aziz sebagai satu dalam sejuta dan keunikan itulah yang menjadikan beliau terus dikenang, seperti tokoh-tokoh lagenda dalam sukan bola sepak dunia.
“Jadi, kalau ada orang kata Dato’ Ahmad Yaakob sama hebat dengan Tok Guru, maka akan tidak hebatlah Tok Guru. Sama macam pemain bola lagenda.
“Setiap zaman akan ada seorang dua yang benar-benar menonjol. Bila dia hebat, dia seorang. Bila ramai yang hampir sama, tak ada siapa pun yang benar-benar luar biasa.
“Sebab kehebatan itu menuntut keunikan. Tok Guru ada itu. Dato’ Ahmad Yaakob pula ada kelebihannya yang lain,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor Kelantan.
Beliau menjelaskan bahawa Tok Guru tidak memilih Dato’ Ahmad secara tergesa-gesa atau kerana tiada calon lain, sebaliknya atas keyakinan terhadap kesetiaan dan kefahaman mendalam terhadap perjuangan parti.
“Ketika itu, ramai yang hebat-hebat belaka. Dato’ Husam Musa, misalnya, memang petah bercakap, penuh idea, dan sering ke hadapan. Ramai yang menjangka beliaulah yang akan diangkat
“Tetapi Tok Guru tidak memilih berdasarkan persepsi orang ramai. Tok Guru memilih berdasarkan siapa yang benar-benar memahami perjuangannya, Siapa yang akan meneruskan dasar dan pendekatan yang telah sekian lama diperjuangkan,” ulasnya.
Tambahnya, Dato’ Ahmad tidak pernah melobi untuk jawatan, sebaliknya dipilih kerana sifatnya yang tidak banyak bercakap, lebih banyak mendengar dan menimbang serta setia kepada garis panduan perjuangan Islam.
“Tok Guru pernah kata, kepimpinan bukan untuk orang yang gila nak memimpin. Dato’ Ahmad Yaakob tidak pernah melobi. Tetapi kerana Tok Guru yakin dengannya, maka diangkatlah beliau sebagai penyambung kesinambungan perjuangan,” dedahnya lagi.
Menurutnya, Tok Guru tidak pernah silap dalam memilih pengganti, malah pilihan itu telah membawa Kelantan terus membangun dengan acuan Islam dan pentadbiran kerajaan dijadikan wadah tarbiah.
“Kelantan terus membangun dengan acuan Islam, pentadbiran kerajaan dijadikan sebagai wadah tarbiah, nilai zuhud ditanam dalam kekuasaan, dan agama dijadikan sebagai teras dalam semua perkara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











