Karikatur hina TG Abdul Hadi: Gesa siasatan segera

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mengecam sekeras-kerasnya penyebaran sebuah karikatur bertajuk “Sumpah Keramat Perdana Menteri Ke-11” yang dipercayai menghina Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan kini tular di media sosial.

- Advertisement -

Ketua Pemudanya, Mohd Ridhwan Salamun berkata, karikatur itu bukan sahaja bersifat provokatif dan sinis, malah cuba memainkan sentimen serta memperlekeh peranan seorang tokoh ulama dan negarawan yang konsisten memperjuangkan dakwah dan politik tanah air.

“Karikatur seumpama ini mencerminkan kemerosotan etika dalam wacana politik negara. Ia memperlekeh individu yang disegani dan cuba membentuk persepsi buruk terhadap PAS serta gerakan Islam secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Tambah beliau, penggunaan tajuk “Perdana Menteri Ke-11” turut dilihat sebagai satu sindiran jahat yang mahu mewujudkan persepsi kononnya PAS mempunyai agenda tersembunyi untuk merebut kuasa, sedangkan parti itu konsisten memperjuangkan politik nilai, takwa dan integriti.

Mohd Ridhwan turut menegaskan bahawa hak kebebasan bersuara dan berkarya harus disalurkan secara beradab, bukan dijadikan medan menghina tokoh agama demi kepentingan politik murahan.

“Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah figura besar yang banyak menyumbang dalam mengangkat politik Islam dan suara rakyat. Menghinanya dalam bentuk karikatur sinis hanya mencerminkan ketandusan hujah pihak lawan,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru ahli dan penyokong PAS serta rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran agar tampil membuat laporan polis terhadap pihak yang menerbit dan menyebarkan karikatur tersebut.

Pihaknya turut mendesak agar pelaku tampil memohon maaf secara terbuka dan diambil tindakan undang-undang segera bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

“Kami berdiri teguh mempertahankan maruah Tuan Guru serta prinsip perjuangan Islam yang tulen. Kami percaya rakyat yang matang dapat menilai niat sebenar di sebalik penyebaran karikatur ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -