Membina masa depan ummah: Persediaan kepimpinan baharu anak muda

- Advertisement -

GENERASI muda Malaysia kini semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara. Pelbagai janji telah ditaburkan untuk melawan rasuah, menolak kronisme dan menghentikan nepotisme namun hasilnya amat mengecewakan. Di depan khalayak, mereka melaungkan komitmen kepada integriti, tetapi di belakang tabir, tindakan mereka sering bercanggah dengan prinsip yang dilaungkan. Ada yang terlibat secara langsung, ada pula yang melindungi individu yang sepatutnya ditegur. Keadaan ini bukan sahaja mengecewakan, tetapi juga mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap amanah kepimpinan.

Malaysia sedang menempuh era pembangunan yang lebih mencabar dalam dunia yang bergerak pantas dari segi teknologi, sosial dan ekonomi. Dalam konteks ummah, sudah tiba masa untuk melahirkan barisan pemimpin yang berani membawa pendekatan baharu. Kepimpinan masa depan memerlukan mereka yang jujur, berwibawa dan memahami keperluan semasa serta cabaran akan datang. Maka persoalannya, bagaimana anak muda terutamanya mahasiswa boleh bersiap sedia untuk mengambil alih peranan penting ini?

Langkah pertama adalah membentuk cara berfikir yang mantap. Anak muda perlu diasah dengan pemikiran kritikal dan analitikal, agar tidak mudah terikut dengan sentimen dan retorik kosong. Mereka harus digalakkan menyertai wacana ilmu, membina kefahaman melalui analisis pelbagai perspektif, dan membudayakan pemikiran strategik yang bersandarkan nilai Islam. Apabila pemikiran diasuh dengan baik, tindakan yang diambil akan lebih terarah dan berasaskan penilaian yang matang.

- Advertisement -

Di samping itu, jurang generasi perlu dirapatkan. Anak muda tidak boleh berfungsi dalam ruang terasing daripada masyarakat. Mereka perlu membina hubungan dua hala dengan generasi terdahulu, menghormati pengalaman yang lama sambil memperkenalkan pandangan baharu yang lebih segar. Kepimpinan yang berkesan lahir daripada kemampuan untuk berinteraksi dengan pelbagai kelompok dan memahami realiti yang berbeza-beza. Oleh itu, kemahiran komunikasi antara generasi menjadi satu keutamaan.

Pengalaman juga memainkan peranan besar dalam membina ketahanan dan hikmah seseorang pemimpin. Ia tidak datang secara automatik, tetapi diperoleh melalui penglibatan aktif dalam pelbagai lapangan seperti organisasi, aktiviti masyarakat, sukarelawan atau latihan kepimpinan. Institusi pendidikan seperti universiti perlu dilihat sebagai tempat melatih watak, bukan hanya melahirkan graduan. Dengan melibatkan diri secara langsung dalam pengurusan, penyelesaian konflik dan tanggungjawab kolektif, seseorang itu akan lebih bersedia memimpin dalam dunia sebenar.

Aspek lain yang tidak kurang pentingnya ialah penguasaan kemahiran. Dunia hari ini menuntut pemimpin yang mahir dalam pelbagai bidang terutamanya kemahiran berfikir, berkomunikasi, mengurus maklumat, memimpin pasukan dan menyelesaikan masalah secara sistematik. Di samping itu, penguasaan teknologi, pengurusan projek dan inovasi digital turut menjadi kelebihan yang penting. Anak muda perlu aktif menyertai program latihan, seminar dan peluang pembangunan diri yang membina keupayaan praktikal untuk menghadapi cabaran masa kini.

Dalam era digital, keupayaan mengurus dan memanfaatkan teknologi menjadi penentu keberkesanan kepimpinan. Penggunaan media sosial, kefahaman terhadap kecerdasan buatan, data raya, serta keupayaan mencipta dan menyebarkan naratif melalui platform digital merupakan elemen penting. Teknologi bukan sekadar alat tetapi ia juga medan perjuangan. Pemimpin masa depan perlu menguasai medan ini untuk menyampaikan nilai Islam secara berkesan, memperjuangkan keadilan sosial, dan mendidik masyarakat secara luas.

Untuk memastikan persiapan kepimpinan ini berlaku secara menyeluruh dan berterusan, perlu ada pendekatan yang terancang. Di sinilah pentingnya pendekatan 3S, Sistem, Silibus, dan Sabar. Sistem merujuk kepada keperluan mewujudkan ekosistem sokongan seperti program latihan, peluang penglibatan dan jaringan mentor. Silibus pula berkaitan dengan kandungan pendidikan yang mesti dirangka seimbang antara nilai, ilmu dan kemahiran. Sementara itu, sabar menjadi asas penting kerana membina pemimpin bukan proses segera. Ia memerlukan masa, kesungguhan, dan kesediaan untuk terus belajar serta memperbaiki diri.

Akhirnya, masa depan ummah bergantung kepada mereka yang benar-benar bersedia untuk tampil memimpin dengan integriti dan kesungguhan. Rakyat tidak memerlukan individu yang hanya tahu mengkritik atau menunggu peluang. Apa yang kita perlukan ialah generasi yang sanggup melangkah ke hadapan, membina diri dengan ilmu dan akhlak, serta menyumbang kepada masyarakat dengan penuh tanggungjawab. Dengan asas pemikiran yang kukuh, hubungan antara generasi yang sihat, pengalaman yang dibina, kemahiran yang dikuasai dan teknologi yang dimanfaatkan, maka akan lahirlah barisan pemimpin muda yang mampu membawa masa depan ummah ke arah kecemerlangan. Masa depan tidak akan terbentuk dengan menunggu, ia perlu diusahakan mulai sekarang.

DATO’ MUMTAZ MD NAWI

Beliau adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Tumpat. Merupakan seorang peguam bela dan peguam cara sehingga berjaya memiliki firma guaman sendiri atas nama Mumtaz Nawi & Co. Pernah menjadi pakar rujuk Undang-undang RTM dan juga NGO serta panel pelbagai forum perdana termasuk Debat Perdana yang pernah disiarkan di RTM. Juga pernah mewakili ahli Parlimen Malaysia di BBC untuk International Video Confererencing, New South Wales, South Africa dan Malaysia. Beliau kini adalah Ahli Lembaga Pengarah International Muslim Women Union. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

Sumber asal: https://www.facebook.com/share/p/19TQam4tYx/

- Advertisement -