
JOHOR BAHRU: Dewan Muslimat PAS Negeri Johor melahirkan rasa sedih, dukacita dan marah atas pemergian adik Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.
Ketua Muslimat PAS Johor, Zakiah Tukirin berkata kejadian menyayat hati itu bukan sahaja mengejutkan negara, malah mencerminkan betapa serius dan membarahnya budaya buli dalam sistem pendidikan di negara ini.
“Budaya buli ini bukan sekadar perlakuan nakal atau kenakalan remaja, tetapi satu bentuk penyakit sosial yang membarah dalam diam, merosakkan mangsa secara fizikal, emosi dan mental,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Menurut beliau, buli bukan sekadar melibatkan tindakan fizikal, tetapi turut merangkumi tekanan emosi, pengasingan sosial, ugutan, gangguan seksual, pemerasan dan penderaan halus yang mampu menghancurkan keyakinan serta masa depan pelajar.
“Buli tidak mengenal jantina, umur, kerjaya mahupun pangkat. Ia berlaku bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di tempat kerja, institusi awam, bahkan dalam ruang digital,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar sistem keselamatan sekolah khususnya di kawasan asrama, ditambah baik secara menyeluruh dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di laluan utama, tangga, kawasan umum dan pintu masuk.
“Pihak berwajib juga perlu melakukan audit keselamatan secara berkala supaya kelemahan dapat dikenal pasti dan tindakan segera boleh diambil,” tambahnya.
Zakiah turut mencadangkan supaya saluran aduan sulit dan selamat diwujudkan bagi membolehkan pelajar melaporkan sebarang kejadian buli, penderaan atau ancaman tanpa rasa takut terhadap tekanan atau tindakan balas.
“Latihan kecemasan dan pengurusan krisis perlu diberikan secara berkala kepada warden dan pelajar supaya mereka bersedia menangani situasi kritikal dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan wajar menyalurkan peruntukan khas terus ke sekolah untuk menaik taraf infrastruktur, teknologi dan pemantauan keselamatan di asrama kerana sistem keselamatan bukan sekadar pelengkap, tetapi keperluan asas.
Sehubungan itu, Zakiah turut menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap pengurusan asrama termasuk pemilihan dan latihan warden.
“Guru tidak wajar dibebankan dengan tugas warden tanpa sokongan dan latihan mencukupi. Kami mencadangkan mekanisme baharu bagi melantik warden profesional yang berkelayakan dalam bidang kaunseling, psikologi atau pengurusan pelajar,” jelasnya.
Tambah beliau, modul latihan khas dan pemantauan tingkah laku pelajar asrama secara sistematik juga perlu diwujudkan, selain menegaskan bahawa tiada pihak sepatutnya menyembunyikan fakta, melambatkan siasatan atau menutup kes ini.
“Kebenaran mesti ditegakkan secara adil dan telus. Sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pengabaian, pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.
Sebagai ibu, wanita dan pendidik dalam masyarakat katanya, mereka turut merasai keperitan yang ditanggung oleh keluarga Zara dan berdiri teguh bersama mereka dalam solidariti dan doa.
“Tragedi ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil. Ia mesti menjadi titik perubahan. Semua pihak termasuk kementerian, pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat seharusnya bertindak segera dan bersama,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











