
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, N Balasubramaniam menegaskan bahawa Himpunan Turun Anwar (HTA) bukanlah satu manifestasi kebencian terhadap Perdana Menteri, sebaliknya merupakan tanggungjawab rakyat untuk menegur kegagalan kerajaan dalam pelbagai aspek pentadbiran.
Menurut beliau, kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan HTA sebagai usaha menanam kebencian adalah tidak tepat dan bersifat menutup ruang demokrasi yang sah kepada rakyat.
“HTA bukan soal kebencian peribadi. Ia adalah satu mesej tegas rakyat pelbagai kaum terhadap kegagalan Perdana Menteri dalam menangani isu ekonomi, keadilan sosial dan pelaksanaan reformasi yang dijanjikan,” katanya.
Balasubramaniam menambah, melabelkan himpunan tersebut sebagai tindakan menyemai kebencian merupakan retorik lapuk yang sering digunakan pemimpin apabila gagal menjawab tuntutan rakyat dengan fakta dan tindakan.
“Apa yang berlaku adalah reaksi terhadap keangkuhan kuasa. Rakyat menyuarakan bantahan secara sah dan bertamadun. Ini bukan kebencian, tetapi tanggungjawab moral apabila kepercayaan terhadap kerajaan makin terhakis,” katanya lagi.
Beliau turut membandingkan reaksi Anwar hari ini dengan sikapnya ketika era Reformasi dahulu.
“Dulu, beliau sendiri memimpin pelbagai siri himpunan jalanan atas nama suara rakyat. Kini, apabila rakyat menggunakan kaedah yang sama terhadapnya, tiba-tiba himpunan dituduh menyemai kebencian. Itu ironinya,” ujarnya.
Sabtu lalu menyaksikan Himpunan Turun Anwar di ibu negara menjadi perhimpunan besar-besaran melibatkan pelbagai pihak termasuk gabungan NGO, aktivis, ahli akademik, parti politik dan rakyat biasa.
Ia bertujuan menyuarakan kekecewaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilihat gagal mengurus ekonomi, tidak menunaikan janji-janji reformasi, serta menyebabkan tekanan hidup yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat.
Kehadiran puluhan ribu rakyat, khususnya anak muda, memperlihatkan bahawa keresahan rakyat terhadap hala tuju kerajaan kini semakin memuncak.
“Seruan ‘Turun Anwar’ bukan simbol kebencian, tetapi simbol rakyat yang mendambakan perubahan sebenar, bukan sekadar janji manis dan sandiwara politik,” ujar Balasubramaniam.
Beliau menyeru kerajaan untuk membuka ruang dialog dan tidak terus menutup suara rakyat yang hanya mahu menyelamatkan negara daripada terus hanyut dengan kepimpinan yang gagal.- HARAKAHDAILY 29/7/2025











