
KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menyuarakan kebimbangan terhadap kandungan kertas nasihat (advisory paper) yang dikemukakan oleh kumpulan hak asasi manusia, KOMAS, sempena Sidang ASEAN yang dipengerusikan Malaysia pada Februari lalu.
Menurut beliau, beberapa tuntutan yang dinyatakan dalam dokumen tersebut dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya melibatkan kedudukan agama Islam.
“Saya bertanyakan pendirian kerajaan berkenaan tuntutan yang dinyatakan oleh kumpulan NGO dalam kertas tersebut yang dilihat bertentangan dengan perlembagaan Malaysia termasuk menyentuh agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut melampirkan jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) sebagai respons terhadap soalan yang dibangkitkannya di Parlimen.
Untuk rekod, lima tuntutan dalam dokumen KOMAS yang dipersoalkan termasuk desakan agar agama termasuk Islam tidak campur tangan dalam dasar negara.
Juga penolakan terhadap dasar berasaskan kaum dengan mencadangkan penggantian kepada sistem berdasarkan keperluan dan gesaan agar undang-undang digubal bagi melindungi golongan LGBT.
Serta menormalisasi gaya hidup songsang di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia; pengiktirafan rasmi terhadap golongan tidak beragama dan atheis serta saranan agar ia dimasukkan dalam sistem pendidikan.
Selain tuntutan supaya anak yang lahir di luar negara atau luar nikah diberikan kewarganegaraan automatik tanpa sebarang tapisan keselamatan.
Wan Razali berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat dan menegaskan bahawa sebarang tuntutan atau cadangan yang dikemukakan mana-mana pihak tidak seharusnya mengatasi kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
“Diharapkan kerajaan memandang serius kepedulian rakyat terhadap perkara ini dan sentiasa teguh dengan pendirian yang tegas berlandaskan perlembagaan persekutuan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











