HTA: Rakyat celik propaganda, tolak politik murahan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ribuan rakyat dari seluruh pelusuk negara menyertai Himpunan Turun Anwar (HTA) yang berlangsung aman dan penuh disiplin Sabtu lalu sebagai manifestasi kekecewaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Himpunan anjuran beberapa pertubuhan masyarakat sivil, aktivis dan parti pembangkang itu berlangsung di ibu negara sebagai simbol protes terhadap dasar-dasar kerajaan yang disifatkan gagal menunaikan janji, menangani tekanan ekonomi rakyat dan menjaga integriti institusi.

Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS, R Hareetaran, gelombang rakyat ini bukan bersifat kebencian peribadi, tetapi luahan rasa muak terhadap politik retorik yang tidak menepati realiti.

“Apabila rakyat bangkit, timbul pelbagai taktik untuk menutup kegagalan sendiri – termasuklah memperkecil jumlah peserta, menuduh penyokong membuang sampah, dan tiba-tiba mengumumkan pemberian ‘one-off’ RM100. Ini semua politik murahan,” katanya.

Beliau berkata, isu jumlah peserta himpunan yang cuba digambarkan tidak melebihi 20,000 adalah sebahagian daripada propaganda biasa untuk menutup mesej sebenar rakyat.

“Angka tidak lebih penting daripada mesej. Rakyat datang bukan kerana dibayar, tetapi kerana mereka benar-benar tertekan,” katanya.

Tambah beliau, HTA memperlihatkan kematangan rakyat yang tidak lagi mudah dibeli atau diperbodohkan dengan sogokan dan isu picisan.

“Rakyat kini berani dan matang. Mereka tahu membezakan antara propaganda dan kebenaran. Kebangkitan ini tidak boleh disekat dengan angka, tidak boleh dibeli dengan RM100, dan tidak akan terpadam dengan persepsi murah,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -