Festival Kraf Utara: MB seru sokong produk tempatan

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meluangkan masa mengunjungi Festival Kraf Utara 2025 yang sedang berlangsung di Pekarangan Pejabat Kraftangan Negeri Perlis, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Festival yang berlangsung selama 12 hari bermula 24 Julai hingga 4 Ogos ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan produk kraf tempatan yang kaya dengan nilai seni, budaya dan warisan bangsa.

Festival tersebut dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia dan menghimpunkan penggiat industri kraf dari negeri-negeri utara tanah air seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Alhamdulillah. Pagi tadi saya berkesempatan melawat Festival Kraf Utara 2025 yang berlangsung di Pekarangan Pejabat Kraftangan Negeri Perlis.

“Festival ini mengetengahkan hasil kraftangan tempatan yang penuh nilai seni dan warisan, juga menjadi platform penting kepada usahawan kraf memasarkan produk mereka.

“Tahniah kepada Kraftangan Malaysia dan semua penggiat industri kraf atas penganjuran dan penglibatan dalam festival yang berimpak ini,” ujar beliau di laman Facebook rasminya.

Beliau turut mengajak rakyat Perlis dan pelawat luar untuk sama-sama menyokong produk tempatan dan memanfaatkan festival ini sebagai ruang pembelajaran serta apresiasi terhadap seni dan warisan negara.

Antara tarikan utama festival ini termasuk demonstrasi pembuatan batik, ukiran kayu, anyaman, serta bengkel interaktif yang membolehkan pengunjung mencuba sendiri kemahiran seni kraf.

Terdapat juga pameran menampilkan pelbagai hasil kerja tangan dari pelbagai kaum dan komuniti etnik di utara Semenanjung Malaysia.

Majlis Perasmian Festival ini telah dirasmikan secara rasmi pada 24 Julai 2025 oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat menyerikan majlis ketika itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al‑Haj Jamalullail.

Lawatan Menteri Besar ini mencerminkan sokongan berterusan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan industri kraf sebagai salah satu pemacu ekonomi kreatif dan pemulihara warisan budaya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -