
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam memperkasa sistem pengangkutan awam melalui pelaksanaan program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) yang dikenali sebagai Bas.My Kangar.
Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bertempat di Dataran Dato Sheikh Ahmad, di sini semalam.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Seri Jana Santhiran Munia Yan.
Juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Izizam Ibrahim dan barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation, Yahaya Sani.
Program SBST ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi menambah baik perkhidmatan bas awam dari aspek kemampanan, kebolehharapan dan kebolehcapaian.
Sebanyak RM39.70 juta diperuntukkan bagi tempoh lima tahun pelaksanaan di negeri Perlis, bersamaan kira-kira RM7.94 juta setahun.
Pelaksanaan Bas.My Kangar meliputi seluruh negeri Perlis dengan sembilan laluan perkhidmatan, termasuk sambungan ke Alor Setar, menjadikan sistem pengangkutan ini lebih efisien dan menyeluruh.
Operasi dikendalikan dengan 24 bas yang merangkumi 20 bas mini dan empat bas mini ‘low floor’ di mana bas-bas ini dilengkapi dengan sistem penghawa dingin, GPS, sistem tiket elektronik, dan CCTV untuk keselesaan dan keselamatan pengguna.
Menariknya, rekaan bas berwarna merah jambu ceria diperkenalkan untuk memberikan identiti segar dan menarik perhatian umum.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Bas.My Kangar turut memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai melalui kad debit atau kredit dan e-wallet QR code.
Tambahan pula, pengguna warga tempatan boleh melanggan Kad 30 Hari Bas.My dengan hanya RM50 sebulan untuk perjalanan tanpa had.
Lebih membanggakan, perkhidmatan ini juga menawarkan tambang percuma kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi melalui Kad Konsesi Bas.My.
Dalam majlis ini, Menteri Pengangkutan dan Menteri Besar turut menyempurnakan gimik pelancaran serta melakukan ‘walkabout’ ke pameran berkaitan pengangkutan dan menaiki sendiri Bas.My Kangar bagi meninjau kemudahan yang disediakan.
Program ini dijangka memberi impak besar dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Perlis serta menyumbang kepada usaha negara dalam menggalakkan rakyat beralih kepada mod pengangkutan yang lebih mampan. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











