Konflik pelancong, penguat kuasa MBMB boleh dielak

- Advertisement -

KOTA MELAKA: Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian menyeru semua pihak untuk menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan bersama-sama memelihara imej negara.

- Advertisement -

Beliau mengulas insiden seorang pelancong didakwa mengoyakkan saman Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang membawa kepada konfrontasi dengan pegawai penguat kuasa di kawasan pelancongan Stadthuys, di sini baru-baru ini.

“Kami maklum bahawa pelancong mungkin berdepan pelbagai situasi ketika melancong. Walau bagaimanapun, kedaulatan undang-undang adalah asas masyarakat madani.

“Berkenaan pelanggaran peraturan letak kenderaan, kami menggesa orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan yang berkuat kuasa.

“Sekiranya terdapat bantahan terhadap tindakan penguatkuasaan atau saman yang dikeluarkan, ia wajar disalurkan melalui saluran rasmi seperti mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Atau pergi mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat tempatan, dan bukannya mengambil tindakan provokatif,” ujar beliau yang juga Naib Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Melaka.

Katanya, tindakan pelancong mengoyakkan saman dalam insiden ini bukan sahaja menunjukkan pengabaian terhadap undang-undang, malah mencemarkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan selamat.

“Kami menyeru semua individu, sama ada penduduk tempatan atau pelancong, untuk sentiasa menjaga adab dan menunjukkan keperibadian rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

“Perbuatan yang tidak wajar sedemikian berpotensi menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pelancong lain dan boleh menjejaskan industri pelancongan negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa berkaitan, terutamanya MBMB, untuk memperkukuh latihan dan meningkatkan kapasiti pegawai penguat kuasa dalam mengendalikan situasi kecemasan dan interaksi dengan individu yang mungkin berada dalam keadaan emosi.

Jelas beliau, latihan profesional adalah penting untuk mencegah eskalasi konflik dan memastikan semua insiden ditangani secara berhemah mengikut kerangka undang-undang.

“Sebagai warganegara Malaysia, kami amat dukacita melihat insiden yang tidak menyenangkan berlaku dalam kalangan rakyat kita. Kami percaya bahawa pendekatan kasih sayang dan dialog adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan perselisihan.

“Kami menyeru semua pihak untuk kekal tenang dan rasional, serta berusaha menyelesaikan sebarang isu melalui perbincangan damai dan persefahaman bersama.

“Hanya dengan memupuk kasih sayang sesama kita dan berbincang secara konstruktif, masyarakat kita dapat mencapai tahap keharmonian dan kemajuan yang lebih tinggi.

Pusat Khidmat DHPP Melaka katanya, akan terus memantau perkembangan insiden ini dan bersedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada masyarakat.

Jelas beliau lagi, pihaknya bermatlamat untuk membina persekitaran sosial yang menjunjung undang-undang, beradab, dan harmoni. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -