Kudeta terhadap Dr Morsi dan bantahan Turun Anwar: Dua naratif yang berbeza

- Advertisement -

TELAH lebih enam tahun pemergian ke alam abadi di Penjara Tora Farm, Dr Muhamad Morsi, sang Presiden yang digulingkan secara paksa oleh kudeta tentera dan pakatan Ahzab moden. Ribuan telah syahid dimamah timah panas dan bergeletak di jalanan dan bakinya dihumban ke penjara-penjara seluruh Mesir. Mesir tidak pernah diam daripada memicu perhatian masyarakat antarabangsa, pernah menjadi kiblat politik umat Islam serta kilang perkaderan dakwah.

Hari ini apabila sosok neo salafi di Malaysia mula hendak menyamakan bantahan ‘Turun Anwar’ seperti usaha menurunkan sang mujahid Dr Muhammad Mursi di Mesir, saya hanya menarik nafas yang paling dalam. Jauh melencong analisis yang dibuat untuk sebuah justifikasi demi mendukung rejim ketimbang ini.

Ramai yang tidak memahami galur pergolakan politik di Mesir yang sangat bervariasi dan kompleks. Di Mesir, kelompok Hizbul an Nur yang didukung oleh kelompok neo salafi juga tidak bersama aspirasi Dr Muhamad Mursi, apatah lagi kelompok Syiah.

Dalam kecacamarbaan dukungan itulah Menteri Luar Israel, berjaya mengkoordinasikan kumpulan penentang-penentang kerajaan. Sehingga mengheret kepada rampasan kuasa tentera di Mesir sehingga pembantaian berdarah berlaku.

- Advertisement -

Ardhul Kinanah tidak pernah gagal menyaksikan kezaliman demi kezaliman terhadap pejuang-pejuang Islam, hembusan angin Sahara sekali lagi membawa khabar duka bumi Mesir.

Komplot rejim kudeta dengan tangan ghaib Zionis telah memberangus harkat manusiawi tanpa sepicing rasa malu mereka kepada dunia bertamadun yang menyaksikan sistem keadilan Mesir tidak ubah seperti kandang kangaroo.

Dr Mursi, Dr Muhamad Badie’, Sheikh Mehdi Akif dan seratus orang yang lain dikenakan hukuman gantung oleh mahkamah, berulang naik ke mahkamah, mendekam di penjara serta berselimutkan kezaliman. Seterusnya ada yang mati di tiang gantungan, ada yang mati sakit dalam tahanan seperti Dr Muhammad Morsi.

Dunia zaman edan ini makin menggila malah membutakan kebenaran. Jerkahlah sekuat-kuatnya kepada rejim tolol Fatah as Sisi, namun mereka tetap tidak ambil peduli, seolah-olah tuli dan tanpa nurani serta memperalatkan kelompok agamawan rasmi untuk menjustifikasikan kezaliman mereka.

Kebenaran adalah lilin yang semakin mencair dengan api kezaliman, orang awam menjadi keliru melihat justifikasi agama untuk menghalalkan kebejatan dan kebobrokan.

Isu Mesir yang berdarah, berkubang air mata, pembantaian sekaligus merupakan manifestasi ahzab moden yang menunjukkan wajahnya yang hodoh dan pongah. Gejolak isu Mesir rasanya begitu hampir dengan nurani umat Islam di negara ini, paling kurang dalam tempoh semenjak satu abad yang lampau.

Pengaruh Mesir begitu membumi dan mempunyai keunikannya yang tersendiri terhadap rakyat negara ini, apatah lagi dengan sebahagian cendekiawan Islam ini mencicip ilmu di kota seribu menara itu. 

Gelombang kebangkitan rakyat Mesir turut menyentuh perkembangan politik rakyat negara ini lebih seabad lampau. Seawal abad ke-20, Mesir begitu dekat sekali dengan rakyat negara ini. Pelajar-pelajar Melayu yang pintar meraih ilmu di dada bumi anbiya’ ini. Kepulangan mereka telah melakarkan landskap sosio politik bernuansa Islami.

Gerakan Islam kontemporari ini terus menjadi model kepada gerakan Islam yang lain, malah perkembangannya sentiasa diintai dan dirasakan kehadiran. Ikhwanul Muslimin telah menyumbang kepada peradaban dunia Islam abad moden dengan ratusan pemikir dan ideologinya terus mengalirkan kristal-kristal indah pemikiran dan kitab-kitab amal Islami pelbagai tajuk.  
    
Maka tidak pelik apabila berlakunya Revolusi 2011, rakyat negara ini turut sama berkongsi kepedihan melihat kezaliman yang ditimpakan terhadap rakyat Mesir. Revolusi telah mengubah landskap politik negara yang puluhan tahun secara sistematik memperbodohkan rakyat dan mengekang hak demokratik.

Perubahan politik baru Mesir pasca revolusi aman Januari 2011 juga telah memungkinkan Ikhwanul Muslimin menyerlahkan tampang mereka yang sebenarnya. FJP dan Dr Mursi akhirnya membawa aspirasi baru rakyat dan Mesir dalam tempoh dua tahun ini selepas itu sentiasa menjadi tajuk utama berita antarabangsa.  

Tanggal 3 Julai 2013 menyaksikan episod hitam yang mencacatkan sejarah Mesir. Rampasan kuasa tentera yang terancang rapi itu akhirnya mengheret tragedi kemanusiaan yang paling ngeri apabila enam ribu lebih telah gugur sebagai syuhada manakala puluhan ribu yang lain mendekam dalam penjara militer.

Mesir terpancing dalam nafas dan gelora hitam, awan hitam menyerkup kemanusiaan dengan dengusan ngeri. Usaha ‘Ahzab Moden’ untuk menjatuhkan Mursi sangat sistematik.

Tragedi ini juga telah menyingkap wajah sebenar kemunafikan rejim negara Teluk yang turut bersekongkol untuk memadamkan Ikhwanul Muslimin daripada peta umat Islam. Israel yang menjadi dalang turut berpesta pora sehingga Gaza turut dihempap duka lagi dengan penutupan semula Rafah sehingga kini. Tanpa kuasa, Islam dan umatnya akan ditindas, Mesir sehingga kini menjadi tali barut Amerika dan Israel.

Adalah karut dan falasi yang membenamkan akal apabila himpunan ‘Turun Anwar’ dilihat akan menjadikan Malaysia seumpama Dr Mursi di Mesir. Dua landskap yang berbeza, malah sejarah dan orientasi politik kedua negara ini jauh berbeda. Anwar naik ke koridor kuasa dengan kelicikan; beliau tidak mewakili majoriti rakyat. Parti yang beliau nakhodai juga tidak menang besar malah sekarang berpecah dua, malah majoriti kemenangan peribadi Anwar dalam PRU 15 berelatif kecil (besar lagi majoriti kemenangan penulis dalam PRU 15).

Himpunan Turun Anwar adalah manifestasi kekecewaan rakyat terbanyak negara ini. Bayangkan jika tiada 16 sekatan jalan raya sempena himpunan semalam di kota raya, pastilah kita akan menyaksikan lautan manusia di Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir di Kaherah.

Kepada penyokong-penyokong Anwar, bertenanglah kalian. Rakyat hanya mahu Anwar dilungsurkan dari takhta bukannya untuk pertumpahan darah seperti yang telah terjadi di Mesir.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -