
NAIROBI, Kenya: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Pejabat Nairobi (UNON) menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan mampan, kebajikan sejagat dan pengukuhan kerjasama rentas agensi di rantau Afrika.
Ketua Pengarah UNON, Zainab Hawa Bangura menyatakan demikian semasa menerima kunjungan rombongan ‘Safar Ilmi MAIPs!’ yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat bersama adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam kunjungan bertempat di Kompleks PBB, Gigiri, Nairobi Sabtu lepas.
Turut sama dalam sesi lawatan hampir sejam itu ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Zainab Hawa Bangura, tokoh wanita tersohor dari Sierra Leone kini mengetuai UNON sejak dilantik oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Januari 2020.
Beliau mengalu-alukan kesudian baginda Raja Muda dan rombongan dalam mengunjungi satu-satunya kampus ibu pejabat PBB yang beroperasi di negara membangun dan benua Afrika.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad dan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor, dan Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Syarafina Adilah Ahmad Nasir.
Sepanjang lawatan, rombongan diberi taklimat tentang projek renovasi dan pembangunan tambahan UNON yang sedang giat dijalankan bagi mempertingkatkan kemudahan persidangan.
Juga rombongan dibawa melihat ruang pejabat serta infrastruktur digital yang menyokong lebih 20 agensi dan program PBB di Nairobi, selain UNON turut berkongsi tentang dua agensi utama yang berpangkalan di Nairobi.
Program tersebut ialah UN Environment Programme (UNEP) yang memacu dasar alam sekitar global sejak 1972 serta UN-Habitat pula memberi tumpuan kepada pembangunan bandar mampan dan perancangan penempatan manusia.
Kedua-dua agensi ini merupakan tulang belakang kepada usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Dalam perbincangan, Raja Muda turut berkongsi pengalaman MAIPs dalam menjalin kerjasama strategik bersama Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), khususnya dalam misi bantuan berasaskan nilai Islam yang inklusif.
IFRC ialah antara rakan utama PBB dalam operasi kemanusiaan bersama agensi seperti UN Refugee Agency (UNHCR), World Health Organization (WHO) dan United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA).
Zainab turut menzahirkan penghargaan terhadap Malaysia yang aktif sebagai anggota PBB, khususnya dalam bidang pembangunan lestari, pengurusan pelarian, bantuan kemanusiaan dan pendidikan, menjadikan Malaysia antara rakan strategik dihormati di peringkat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











