
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanah Merah, Muhamad Farhan Samsuddin menyifatkan Himpunan Turun Anwar, Sabtu lalu sebagai isyarat politik jelas anak muda yang perlu ditanggapi dengan akal dan jiwa besar, bukan dengan penafian mahupun sindiran sinis.
Beliau berkata, jumlah kehadiran dalam himpunan itu bukan isu utama untuk diperdebatkan, sebaliknya mesej yang disampaikan oleh rakyat, khususnya generasi muda, jauh lebih penting untuk difahami dan diambil tindakan.
“Kelmarin, negara menyaksikan satu lagi detik penting dalam sejarah demokrasi apabila Himpunan Turun Anwar berlangsung dengan penyertaan besar-besaran rakyat, terutamanya anak-anak muda.
“Bagi saya, ini bukan soal angka, ada yang kata sejuta, ada yang kata 500,000, dan ada yang menyebut hanya sekitar 15,000. Angka bukan masalah utama. Ia bukan perkara yang perlu diperpanjangkan perbahasannya.
“Yang lebih utama dan perlu diteliti dengan jujur ialah mesej sebenar di sebalik lautan manusia yang hadir itu, satu laungan protes terhadap tekanan hidup, rasa kecewa terhadap pentadbiran negara, dan keresahan terhadap hala tuju bangsa dan agama,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Farhan, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, harus melihat himpunan tersebut sebagai isyarat politik yang serius dari golongan muda dan bukan sekadar menolaknya sebagai kerja pembangkang atau mainan politik jalanan.
“Mereka membawa suara yang lahir dari kekecewaan terhadap kenaikan kos sara hidup, keputusan-keputusan kerajaan yang dirasakan membelakangkan kepentingan rakyat marhaen, serta beberapa tindakan politik yang menggugat survival bangsa dan agama,” jelasnya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap beberapa keputusan ekonomi kerajaan yang membebankan golongan rakyat biasa termasuk pemotongan subsidi tanpa pelan mitigasi jelas serta pelaksanaan pelbagai cukai baharu.
“Contohnya, ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak, kerajaan Madani terus mengumumkan pemotongan subsidi berskala besar, termasuk subsidi diesel dan beras import, tanpa pelan mitigasi yang jelas untuk rakyat bawahan.
“(Golongan) B40 dan M40 terhimpit, tetapi yang kaya dan berkepentingan politik terus mendapat keistimewaan. Ini bukan keadilan sosial. Ini pengkhianatan kepada prinsip-prinsip Madani yang dicanang.
“Lebih memburukkan keadaan, kerajaan seolah-olah lebih ghairah memperkenalkan cukai baharu seperti SST dinaikkan kepada 8 peratus, cukai keuntungan modal (CGT), dan cukai rendah nilai (LVT), yang akhirnya memberi kesan langsung kepada pengguna biasa.
“Pada masa yang sama, isu ketirisan dan pembaziran tidak ditangani dengan tegas, malah dilihat seperti dilindungi oleh jaringan kuasa dalam kerajaan ‘perpaduan’” terangnya.
Beliau menegaskan bahawa suara anak muda dalam himpunan tersebut adalah satu teguran terbuka yang perlu diberi perhatian secara serius oleh kerajaan, dan bukan disambut dengan sikap angkuh.
“Justeru, suara anak muda dalam himpunan ini wajar dilihat sebagai satu teguran terbuka yang perlu ditanggapi dengan jiwa besar dan tindakan yang berani, bukan dengan penafian atau sindiran sinis. Jika kerajaan terus memekakkan telinga terhadap keluhan rakyat, maka gelombang keresahan ini akan terus membesar.
“Pemuda PAS komited untuk menjadi suara yang memperjuangkan kebajikan rakyat dengan pendekatan yang berprinsip, berakhlak dan berstrategi, kerana kami percaya, perubahan yang sebenar hanya akan berlaku apabila kepimpinan kembali kepada nilai, integriti dan keberanian membela kebenaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











