
KUALA LUMPUR: Himpunan Turun Anwar yang berlangsung Sabtu lalu disifatkan sebagai simbol suara rakyat yang semakin kuat, terarah dan matang, membuktikan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, perhimpunan itu berjalan dalam suasana aman dan tertib, sekali gus memperlihatkan tahap kematangan rakyat dalam menyuarakan hak mereka secara demokrasi.
“Tindakan ini lahir daripada minda politik yang belum cukup matang dan tidak memahami realiti gelombang rakyat. Ia bukan sahaja menunjukkan kebodohan memahami proses perubahan, malah mendedahkan ketakutan sebenar mereka terhadap kebangkitan ini,” katanya.
Menurutnya, sindiran sinis segelintir penyokong Pakatan Harapan seperti ‘Anwar dah turun ke?’, ‘Dah dapat PM baru ke?’ dan ‘PM baru dah angkat sumpah ke?’ bukanlah tanda kekuatan pihak lawan, sebaliknya petunjuk bahawa mereka sebenarnya sedang goyah.
“Mereka cuba kelihatan tenang, tetapi dalaman mereka sedang bergoncang. Orang tua-tua kata, ‘budok-budok kalau galok telajok, sekali tu sebenornya nak jerrit.’ Begitulah mereka sekarang,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan rakyat dan peserta himpunan tidak perlu melayan naratif picisan dan murahan seperti itu, sebaliknya fokus kepada usaha membina momentum dan menyatukan kekuatan rakyat.
“Gelombang rakyat bukan soal dapat kuasa hari ini, tumbang kerajaan esok. Ini bukan perjuangan seminggu dua. Ini adalah proses panjang menyalakan kesedaran,” jelas beliau.
Katanya, himpunan itu adalah satu permulaan dan gelombang ini akan terus bergerak serta membesar sehingga sampai waktunya ia akan melanggar keangkuhan kerajaan Pakatan Harapan dalam medan sebenar, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Biarlah mereka terus mentertawakan. Biarlah mereka berpura-pura kuat. Yang penting, kita terus bekerja, menyusun langkah, dan menyemai kesedaran di kalangan rakyat,” katanya lagi.
Tegas beliau, apabila rakyat benar-benar bangkit kelak, tidak ada sindiran yang mampu menahan gelombang perubahan yang bakal berlaku.
“Dan waktu itu, tangisan mereka bukan lagi disorok di sebalik ketawa. Tapi akan kedengaran dengan jelas, satu negara akan saksikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











