PKW boleh bantu atasi kesesakan di dalam penjara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN–Arau) mencadangkan supaya hukuman perintah wajib turut dipertimbangkan ke atas banduan yang sedang menjalani hukuman penjara kurang daripada 10 tahun, bagi mengurangkan kesesakan di penjara negara ini.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dilihat sebagai langkah tambahan terhadap usaha kerajaan memperkenalkan hukuman perintah wajib yang lebih pendek seperti empat jam sehari, selain menambah baik sistem pemulihan banduan.

“Apakah mereka yang sedang menjalani hukuman penjara, contohnya sudah lapan tahun menjalani hukuman, boleh dipertimbangkan untuk dikenakan hukuman perintah wajib ini juga?

“Kalau ini berlaku, separuh penjara kita boleh kosong,” ujarnya semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Shahidan turut mencadangkan supaya individu yang menjalani hukuman perintah wajib itu dikenakan syarat untuk bekerja selama lapan jam sehari dan menghadiri kursus selama empat jam, sebagai bentuk pemulihan dan sumbangan kepada masyarakat.

Katanya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan kos pengurusan penjara, malah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing sekiranya golongan banduan ini dapat dimanfaatkan tenaganya secara produktif.

“Bagi orang Islam, saya cadangkan diwajibkan hadir ke masjid untuk solat Maghrib dan Isyak. Ini bukan sahaja satu bentuk hukuman, malah membina diri mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap perbincangan mengenai keberkesanan hukuman alternatif termasuk dalam kes berprofil tinggi seperti Dato’ Sri Najib Tun Razak, yang menurutnya sedang menjadi tumpuan perbahasan awam.

“Saya tahu Simpang Renggam tadi menyebut VIP, saya rasa dia nak menyebut Dato’ Najib, tapi dia tak berani sebut. Saya sebut. Maaf. Sekarang ni Dato’ Najib telah dihukum enam tahun. Adendum sedang diperbincangkan dengan hebat. Tak tahu nak bincang apa lagi.

“Saya pun dah naik keliru tentang perkara ini, tetapi sekarang ni melalui akta ini dia secara automatik dah boleh keluar bukan tahanan dalam rumah. Dia hadir sehari empat jam untuk buat PhD ataupun untuk berada di masjid,” tegasnya.

Menurut Shahidan, pematuhan kepada perintah wajib yang dikenakan mesti tegas dan jika gagal dipatuhi, individu terbabit perlu dibawa ke mahkamah dan dikenakan semula hukuman yang sewajarnya.

Katanya, Akta baharu ini harus memberi peluang kepada semua pesalah termasuk yang telah lama menjalani hukuman, bukan hanya tertumpu kepada kesalahan baharu semata-mata.

“Kalau betul kita mahu kurangkan jumlah banduan, kita benarkan mereka yang bawah 10 tahun ini merayu dan dikenakan perintah wajib. Kami seronok, rakyat Malaysia pun seronok melihat penjara kita kosong,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan seperti ini telah lama diamalkan di negara maju seperti Belanda, di mana banduan bukan sahaja menjalani hukuman, tetapi turut dibenarkan bercuti sebagai sebahagian daripada pendekatan pemulihan.

“Masuk penjara bukan semata-mata menghukum, tetapi untuk memberi pengajaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -