RUU PKW jangan jadi ‘talian hayat’ elit politik, korporat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 merupakan satu bentuk reformasi penal, keadilan restoratif dan hukuman berasaskan komuniti yang telah lama dibincangkan sebelum ini.

- Advertisement -

Namun, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) berkata, pelaksanaan tersebut tidak memadai sekiranya ia membuka ruang kepada penyalahgunaan, khususnya jika skopnya terlalu luas dan berisiko untuk dimanipulasi.

“Fasal pindaan kepada Seksyen 5 Akta 461 kini membolehkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun untuk dikenakan PKW (Perintah Kehadiran Wajib).

“Asalkan mahkamah berpendapat hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun adalah memadai. Ini sangat subjektif dan membuka ruang budi bicara yang terlalu luas,” katanya dalam Sesi Perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau dalam pada itu membangkitkan persoalan mengenai bagaimana rakyat akan menilai sistem keadilan negara sekiranya golongan elit korporat atau politik yang menyeleweng dana negara masih boleh menyalurkan dana ke pusat komuniti.

Justeru, beliau mencadangkan agar pihak kementerian mempertimbangkan penambahbaikan sebelum RUU tersebut diluluskan, antaranya menyatakan dengan jelas bahawa kesalahan serius seperti rasuah tidak layak untuk PKW.

Selain pengubahan wang haram (Anti-Money Laundering), gangguan seksual dan jenayah seksual, pecah amanah melibatkan penjawat awam atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan keganasan serta keselamatan negara.

Fayhsal turut menegaskan bahawa negara memerlukan sistem keadilan jenayah yang adil dan berperikemanusiaan, sambil menjelaskan keadilan yang tidak telus dan berat sebelah bukanlah satu bentuk keadilan, sebaliknya hanyalah suatu bentuk manipulasi.

“Jangan sampai rakyat melihat bahawa RUU ini hanyalah ‘escape clause’ untuk mereka yang berada di atas. Saya mohon agar RUU ini diteliti dengan lebih mendalam sebelum diluluskan dan saya menggesa ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Untuk disemak dengan teliti demi kepentingan rakyat dan keluhuran undang-undang negara. Jadi mintalah Kerajaan Madani berterus terang, ‘why you table this bill for public understanding’,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -