PKW: Jangan pudar prinsip adil, cegah dan pemulihan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 (RUU PKW) menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pindaan Seksyen 51.

- Advertisement -

Ia kerana memperluaskan kelayakan untuk menerima PKW kepada pesalah dengan hukuman sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan dengan hukuman tidak melebihi tiga tahun.

Menurut beliau, langkah ini bersifat drastik dan berpotensi menjejaskan prinsip pencegahan serta keadilan terhadap mangsa jenayah.

“Kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun bukan lagi kesalahan kecil. Ini termasuk cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Apakah rasionalnya kerajaan mahu perluas kelayakan PKW sampai ke tahap ini?” soal beliau.

Beliau turut menyifatkan peruntukan dalam Seksyen 51A menyenaraikan pertimbangan mahkamah sebelum memberikan PKW sebagai rawak dan membuka ruang tafsiran terlalu luas, sehingga keputusan bergantung semata-mata kepada budi bicara tanpa sempadan yang jelas.

Che Mohamad Zulkifly turut mempertikaikan rasional menjadikan PKW sebagai ganti kepada hukuman penjara, denda dan bahkan hutang, di mana ini mungkin sesuai untuk matlamat mengurangkan kesesakan penjara dan memberi peluang pemulihan.

“Tetapi kalau dijadikan ganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, ia boleh melemahkan elemen pencegahan,” ujarnya menegaskan undang-undang Islam juga menekankan prinsip zajr (pencegahan).

Jelas beliau, ia perlu diseimbangkan dengan prinsip islah (pemulihan), sekiranya pelaksanaan PKW terlalu ringan, di mana ia bukan sahaja melemahkan pengajaran terhadap pesalah, malah menafikan hak mangsa untuk mendapatkan keadilan.

“Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Jika PKW diberi tanpa elemen hukuman tambahan, ia menafikan hak moral mangsa untuk mendapat pembalasan yang setimpal,” tegasnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran iaitu selepas menjalani tempoh minimum penjara, barulah pesalah menjalani PKW.

Menyentuh aspek pemulihan, beliau mencadangkan agar PKW turut disertakan dengan komponen pendidikan, kaunseling dan bimbingan agama.

“Terutamanya untuk pesalah Muslim dengan kerjasama badan agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dakwah.

“Pendekatan ini akan selari dengan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan,” jelasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan menyatakan statistik kesesakan penjara yang menjadi justifikasi kepada pelaksanaan PKW, dan menjelaskan sama ada ia merupakan isu berskala nasional atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu.

“Sudah tiga tahun sejak pindaan itu. Berapa banyak pusat PKW telah ditambah? Sasaran 100 pusat di seluruh daerah negara adakah sudah dicapai?” soalnya lagi.

Che Mohamad turut menyentuh demonstrasi yang diadakan pembangkang pada hujung minggu lalu, menyatakan bahawa para peserta telah berjaya dididik apabila tidak mencetuskan kekacauan.

“Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -