PKW pastikan tiada layan istimewa golongan tertentu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mencadangkan Rang Undang-undang Perintah Kehadiran Wajib (Pindaan) 2025 dilaksanakan dengan kriteria lebih ketat selain tanpa layanan istimewa golongan tertentu.

- Advertisement -

Menerusi pindaan tersebut beliau berkata, ia memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintah pesalah disabitkan dengan kesalahan tidak lebih 10 tahun untuk menjalani Perintah Kehadiran Wajib sebagai ganti pemenjaraan.

“Berkaitan dengan garis panduan pemilihan pesalah yang layak, pindaan ini memberi ruang kepada mahkamah untuk menentukan pesalah yang sesuai, namun mekanisme ini mesti berdasarkan kriteria yang ketat adil dan telus.

“Kita juga tidak mahu pendekatan ini digunakan untuk memberi layanan istimewa kepada golongan tertentu yang sepatutnya menerima hukuman setimpal,” kata beliau pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ketua BERSATU Bahagian Padang Rengas itu turut mencadangkan kepada kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri supaya mewujudkan laporan tahunan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dibentangkan ke parlimen.

Menurutnya, Rang Undang-undang Perintah Kehadiran Wajib (Pindaan) 2025 merupakan langkah yang penting dalam mengubah persepsi rakyat terhadap pendekatan menghukum kepada pemulihan berorientasikan komuniti.

Beliau berkata, usaha itu memberi ruang kepada pesalah ‘melangsaikan’ kesalahan kepada masyarakat, bukan tirai besi yang dianggap menutup masa depan khususnya generasi muda yang melakukan kesalahan kali pertama.

“Pertama soal pelaksanaan dan pemantauan yang telus, kita menyambut baik cadangan pelaksanaan sistem pemantauan elektronik, tetapi sistem ini mesti bebas daripada manipulasi dan mesti diaudit secara berkala.

“Saya mencadangkan agar laporan tahunan mengenai perlaksanaan PKW ini dibentangkan ke parlimen secara rasmi supaya kita dapat menilai keberkesanannya secara objektif,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk memasukan elemen pemulihan rohani dan nilai Islam dalam modul pelaksanaan PKW yang menjadi teras penting dalam pemulihan khususnya bagi pesalah beragama Islam.

Menurutnya, antara cadangan pemulihan tersebut seperti pesalah menjalani sesi tazkirah, kaunseling, pemulihan akhlak dan aktiviti kerja komuniti di masjid dan pusat kebajikan Islam yang ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -