Potensi Kedah jadi destinasi unggul pelancongan Islam

- Advertisement -

PADANG TERAP: Kedah berpotensi besar untuk muncul sebagai antara destinasi pelancongan Islam terunggul di Malaysia dengan pelaksanaan program seperti Jaulah Ulama Kedah 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

- Advertisement -

Menurut beliau, inisiatif yang digerakkan oleh DarSA Travel & Tours ini bukan sekadar membawa peserta dari satu lokasi ke lokasi lain, sebaliknya merupakan satu rihlah ilmu yang menyatukan elemen jasmani, akal dan rohani.

“Pagi ini, dalam naungan Jumaat yang barakah, saya berkesempatan berada di Darsa, Kuala Nerang bagi merasmikan program Jaulah Ulama Kedah 2025, satu inisiatif hebat.

“Ia membuka lembaran baharu ke arah menjadikan Kedah sebagai antara destinasi pelancongan Islam yang unggul di Malaysia, sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri.

“Jaulah ini, anjuran DarSA Travel & Tours, bukan sekadar kembara jasmani dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Ia lebih daripada itu. Ia adalah rihlah ilmu satu pengembaraan hati, akal dan jiwa.

“(Antaranya) untuk menimba kefahaman, mengenal tokoh, menelusuri jejak warisan, dan menyambung sanad perjuangan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan.

Dato’ Salleh turut menyentuh latar sejarah negeri Kedah yang pernah menjadi antara wilayah terawal menerima sinar Islam di Nusantara serta memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah di rantau ini.

“Kedah, dengan sejarahnya yang panjang sebagai antara wilayah terawal menerima sinar Islam di Nusantara, sememangnya bumi yang subur dalam melahirkan ramai tokoh ulama, ilmuwan dan daie yang menjadi tiang seri kepada penyebaran dakwah di rantau ini.

“Sebab itulah saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih negeri tercinta ini sebagai lokasi permulaan jaulah yang sangat signifikan ini, apatah lagi ia berlangsung seiring dengan Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya lagi.

Tambah beliau, masih banyak khazanah ilmu, warisan dan jejak dakwah di negeri ini yang belum diteroka dan sewajarnya diketengahkan kepada umum.

“Saya, mewakili kerajaan negeri, mengalu-alukan kehadiran para sahabat dari seluruh pelosok tanah air dan bahkan luar negara untuk datang dan melakukan jaulah di Kedah.

“Insya-Allah, setiap langkah itu akan menambah makna, bukan sahaja memperkenalkan Kedah sebagai destinasi pelancongan alam, budaya dan sejarah, tetapi juga sebagai destinasi ilmu dan spiritual yang mampu menyentuh hati dan menyegarkan jiwa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -