Penjawat awam tunjang kejayaan pentadbiran

- Advertisement -

KANGAR: “Penjawat awam adalah tunjang kepada kejayaan pentadbiran sesebuah negeri dan negara,” demikian perakuan dinyatakan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Penghargaan itu diucapkannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025 di Hotel Seri Malaysia, di sini petang tadi.

Majlis dianjurkan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis itu diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan para penjawat awam negeri, khususnya kepada 133 penerima APC tahun 2024.

Juga kepada 29 penjawat awam yang telah dan akan bersara pada tahun 2025 serta 15 pegawai telah bertukar keluar daripada pentadbiran negeri.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Rus’sele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali dan Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan.

Menteri Besar dalam ucapannya menekankan bahawa majlis seumpama ini bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya medan memperingati serta mengiktiraf jasa besar penjawat awam yang telah memberikan komitmen cemerlang sepanjang perkhidmatan.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Perlis ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima APC Tahun 2024. Semoga melalui penghargaan ini, dapatlah kiranya menyuntik semangat, mencetus inspirasi.

“Seterusnya menjadi suri teladan sebagai ikutan yang baik dalam membentuk dan memantapkan lagi ekosistem pekerjaan yang cemerlang,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan dalam tugas adalah satu bentuk ibadah, memetik sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Allah mencintai seseorang apabila bekerja, tekun melaksanakannya.

“Dalam konteks perkhidmatan awam, hadis ini menjadi asas kepada budaya kerja cemerlang, di mana setiap penjawat awam dituntut untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, profesional dan
bersungguh-sungguh demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Selain itu, Mohd Shukri turut merakamkan penghargaan dan ucapan selamat maju jaya kepada para pegawai yang telah bertukar keluar daripada pentadbiran negeri.

Beliau berharap agar mereka terus menyumbang secara strategik dan memberikan manfaat kepada negeri Perlis dalam kapasiti perkhidmatan baharu masing-masing.

“Segala jasa dan pengorbanan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik demi pembangunan negeri Perlis amat disanjung dan dihargai oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Perlis dari segenap lapisan masyarakat,”

“Saya pasti ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang berkhidmat bersama-sama kami akan dimanfaatkan sepenuhnya di tempat yang baharu,” ujar beliau.

Beliau juga amat berharap agar semua pegawai yang telah bertukar dari pentadbiran kerajaan negeri akan terus membantu Kerajaan Negeri atas kapasiti masing-masing demi untuk memastikan pembangunan negeri ini akan dapat dipacu ke tahap lebih tinggi.

Kepada para pesara pula, beliau menzahirkan penghormatan yang tinggi atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan dan menyifatkan mereka sebagai sebahagian daripada sejarah gemilang pembangunan negeri.

“Pembangunan dan kemajuan negeri hari ini adalah hasil titik peluh tuan-tuan dan puan-puan juga,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dengan penuh penghargaan.

Majlis petang itu diakhiri dengan penyampaian anugerah dan cenderamata penghargaan kepada para penerima serta persembahan pantun oleh Menteri Besar sebagai penutup yang simbolik dan bermakna. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -