
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkasa kebajikan warga emas dengan merangka serta menggubal Dasar Warga Emas Mukramun yang memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan berusia.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata dasar berkenaan digubal bagi menyemai kesedaran bahawa kebajikan warga emas adalah tanggungjawab bersama.
“Warga emas perlu diambil berat oleh semua pihak termasuk anak-anak, ahli keluarga, masyarakat serta kerajaan agar kehidupan mereka sentiasa dalam keadaan sejahtera,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di sini hari ini.
Menurut Rohani, terdapat dua kategori pusat jagaan warga emas di Kelantan ketika ini.
“Kategori pertama ialah Rumah Seri Kenangan yang terletak di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Setakat Jun 2025, seramai 99 penghuni direkodkan mendiami pusat berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, kategori kedua melibatkan empat buah rumah jagaan yang diurus pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi sokongan berterusan kepada NGO yang mengendalikan pusat jagaan dan aktiviti khusus untuk warga emas.
Antara NGO tersebut termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Shalis Care Centre, Pusat Jagaan Kenangan Hajjah Rahmah dan Mesra Homecare Centre.
“Sebagai tambahan kepada inisiatif tersebut, kerajaan turut melaksanakan program Skuad Kita Cakna yang menyantuni seramai 598 warga emas sepanjang tahun 2024.
“Fokus diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan dalam aspek sosial, ekonomi dan kesihatan bagi mengurangkan risiko pengabaian,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama), beliau memaklumkan pelbagai program integrasi turut digiatkan bagi memupuk hubungan erat antara generasi muda dan tua.
“Contohnya ialah penganjuran Sukaneka Warga Emas bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Rohani turut memaklumkan bahawa bermula tahun 2023, Sambutan Hari Warga Emas diadakan di peringkat negeri, parlimen dan DUN sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan warga emas kepada keluarga dan masyarakat.
“Bagi tahun ini, sambutan akan berlangsung pada 29 Julai menerusi Program Kelantanku Cakna yang turut menyaksikan pelancaran Skim Warga Emas Mukramun.
“Melalui skim ini, bantuan tunai secara ‘one-off’ akan diberikan kepada warga emas terpilih,” tambahnya.
Keistimewaan Kelantan turut terserlah apabila warga emas diberikan peluang mengikuti pengajian agama melalui lapan Institusi Pendidikan Islam Pondok Warga Emas yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Institusi-institusi itu terletak di Ketereh, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas dan Machang terbuka kepada warga emas yang ingin melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dan kerohanian secara aktif. – HARAKAHDAILY 22/7/2025




















