
KUALA LUMPUR: Isu perebutan kuasa membaiki parit dan menyelenggara bangunan kerajaan menyebabkan rakyat terus terkesan setiap kali berlaku bencana atau kemerosotan infrastruktur.
Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, apabila berlaku banjir di Langkawi, tiada satu pun agensi yang mahu bertanggungjawab terhadap parit.
“Apa yang berlaku di bawah sana.. saya tak mahu ambil tempat lain, saya akan mengambil contoh di Langkawi. Bila berlaku saja banjir, parit bukan bawah kuasa saya. Ini bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan di bawah kuasa pejabat daerah.
“Air semakin naik, bukan di bawah majlis. Jadi ini yang berlaku. Saya berharap dengan rang undang-undang ini, maka selesailah perebutan kuasa untuk membaiki parit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan Pindaan (2025) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap kerajaan yang membiarkan bangunan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pekan Kuah, Langkawi kelihatan usang dengan cermin pecah dan landskap dipenuhi lalang.
“Itu bukan bangunan pelancongan, tapi bangunan kerajaan. Sebelum nak masuk Menara Maha, Langkawi orang akan tengok bangunan MARA dulu. Kenapa tidak kerajaan tempatan ambil saja? Undang-undang ada. Tak boleh masukkah saya bawah bangunan?
“Banyak bangunan yang saya rasa kita takut kerana politik. Contoh, yang ni orang Langkawi akan marah kepada saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











