
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap masa depan negara agar menyertai Himpunan Turun Anwar dijadual berlangsung pada Sabtu, 26 Julai 2025 di Ibu Negara.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, menjadi tanggungjawab moral dan agama setiap rakyat untuk menyuarakan kebenaran terhadap pemerintah yang didakwa zalim.
“Himpunan ini adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Madani yang semakin jauh menyimpang daripada aspirasi rakyat.
“Janji-janji manis yang ditaburkan sebelum berkuasa kini menjadi beban derita, dengan pelbagai dasar yang menghimpit kehidupan rakyat saban hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perhimpunan aman adalah hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan diperkuatkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan.
Katanya, hak untuk berhimpun secara aman adalah sebahagian daripada prinsip kesamarataan seperti yang termaktub dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Dewan Ulamak PAS Pusat turut berpandangan bahawa desakan agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berundur merupakan langkah wajar demi menyelamatkan negara.
“Beliau telah gagal menunaikan janji, gagal memacu ekonomi, dan gagal menstabilkan pentadbiran negara. Rakyat tidak lagi boleh berdiam diri melihat negara ini terus dipandu oleh pemandu yang hilang arah.
“Kerajaan Madani hari ini umpama bas yang dipandu melulu, mendedahkan rakyat kepada bahaya kemalangan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang, untuk turun ke jalan secara aman dan berdisiplin sebagai tanda solidariti.
“Inilah saatnya untuk kita nyatakan pendirian, demi maruah negara dan generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











