
KLUANG: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah gagal menunaikan janji dan mengkhianati amanah rakyat apabila janji-janji reformasi yang dilaungkan sebelum ini hanya tinggal retorik semata-mata.
Yang Dipertua PAS Kluang, Mohd Nor Mohamad berkata, rakyat kini berdepan pelbagai tekanan akibat penarikan subsidi, pengenalan cukai baharu tanpa pertimbangan dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal.
“Rakyat semakin dihimpit tekanan ekonomi dan sosial, sementara pemimpin terus menikmati kemewahan di atas takhta kuasa. Situasi ini menzahirkan kerosakan dalam kepimpinan negara serta kepincangan urus tadbir yang sangat membimbangkan,” ujarnya.
Justeru itu katanya, adalah menjadi kewajipan kepada rakyat yang cintakan keadilan untuk bangkit dan bersuara menentang kezaliman serta menuntut pembelaan sewajarnya.
“Saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS, khususnya di Kawasan Kluang untuk hadir dan menyertai Himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Pakaian hitam sebagai simbol solidariti rakyat.
“Yang tertindas demi masa depan Malaysia yang lebih adil, beramanah dan bermaruah. Kita turun, kita bangkit, kita lawan kezaliman!” katanya.
Empat lokasi berkumpul telah ditetapkan mengikut negeri masing-masing bagi para peserta yang akan menghadiri himpunan tersebut iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Dataran SOGO dan Pasar Seni.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden baru-baru ini menyasarkan 300,000 orang menyertai himpunan itu, meningkat daripada 50,000 yang disasarkan sebelum ini.
Menurut beliau, peningkatan itu berdasarkan maklum balas ahli parti gabungan dan orang awam yang menyatakan komitmen untuk hadir berhimpun bagi membangkitkan pelbagai isu. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











