
KOTA BHARU: Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) telah melaksanakan program bagi menyekat penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata usaha tersebut turut mendapat perhatian dari badan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan.
Beliau berkata, kerajaan negeri sejak tahun 2019 melaksanakan aktiviti bagi menyekat penularan aktiviti tersebut di Kelantan sesuai ajaran Islam yang mengharamkan aktiviti dalam fahaman itu.
“Usaha ini dilakukan sejak 2019 lagi, kita ada program dengan LGBT ini dengan menganjurkan kelas agama, fardhu ain dan kelas al-Quran, namun terpaksa dihentikan sekejap akibat penularan Covid-19.
“Kita mulakan semula Jun 2024 dan setiap minggu ada dua kali kelas, sebulan ada lapan kali kelas, pada Selasa dan Sabtu, alhamdulillah banyak perubahan berlaku termasuk bebas fahaman LGBT ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan disampaikan oleh Harun Ismail (PN-Tawang) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Harun bertanya kerajaan negeri mempunyai mekanisma tertentu bagi menyantuni remaja untuk memantapkan pegangan akidah selain dapat mengelakkan dapat terlibat dengan gejala sosial termasuk LGBT.
Mohd Asri (PN-Demit) berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap pegangan akidah remaja agar golongan itu tidak terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan dan kemungkaran menerusi agensinya, JAHEIK.
“Banyak program pengukuhan akidah telah dilaksanakan antaranya program pengukuhan akidah dan jati diri ummah dilaksanakan seluruh jajahan termasuk Lojing, di institusi pengajian tinggi, tingkat kefahaman.
“Kita sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian serius terhadap pegangan akidah golongan remaja agar mereka tidak terjebak dengan gejala sosial dan kemungkaran, laksanakan banyak program,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











