
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli melalui Setiausaha Politiknya, Mustaqim Abdullah menyampaikan sedikit sumbangan dalam program Ziarah Prihatin Menteri Besar kepada penduduk Kampung Bakau yang terkesan akibat ribut melanda di sini kelmarin.
Kejadian ribut yang berlaku pada awal pagi Ahad itu telah merosakkan bumbung tiga rumah di kawasan tersebut dan juga sebatang pokok turut tumbang menghempap sebuah rumah.
Mustaqim yang tiba bersama Penyelaras Pusat Khidmat Menteri Besar Dun Indera Kayangan, Khairul Md Nopiah disambut oleh Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Bakau, Azizi Ahmad.
Beliau turut dimaklumkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga telah menyalurkan bantuan dan turun meninjau lokasi kejadian, di mana sebelum ini, beliau pada Sabtu lalu telah menziarahi seorang warga emas uzur di Perumahan Awam Padang Besar.
“Orang lama ni ibarat pohon rendang, semakin tua, semakin banyak memberikan teduh dan hikmah. Kita juga perlu sedar, dalam tubuh yang uzur tersimpan kekuatan doa yang luar biasa.

“Jangan kita abaikan nilai keberkatan dan doa yang luar biasa itu,” kongsi beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang di Facebook.
Juga beberapa hari yang lalu, beliau menziarahi Zulkifli Muhammad, seorang pesakit kanser prostat tahap 4 di kediamannya di Padang Besar, di mana kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Zulkifli dahulunya bekerja sebagai pemandu Grab (pemandu perkhidmatan perkongsian perjalanan) namun kini terpaksa berhenti sepenuhnya akibat penyakit yang dialaminya.
Turut bersama dalam Ziarah Prihatin itu adalah Ahli Majlis Perbandaran Kangar, Shahrul Nizam Syafie dan Ketua Srikandi BERSATU Perlis, Azura Adnan sebagai tanda keperihatinan dan sokongan moral kepada pesakit dan ahli keluarga.
“Sama-sama kita doakan semoga Zulkifli diberikan kekuatan dan kesembuhan oleh Allah SWT serta dipermudahkan urusan rawatan beliau,” ujar Mustaqim.
Program Ziarah Prihatin ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kepimpinan kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat di saat mereka memerlukan. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











