Lautan Andaman bukan pemisah YAMCS, Melayu Myanmar

- Advertisement -

MISI menjejaki bangsa Melayu Myanmar dengan membawa sumbangan penderma berjaya dilaksanakan walaupun terpaksa menempuh lautan Andaman. Perjalanan dari Sungai Besar, Selangor ke Changloon, Kedah pada petang Rabu, 25 Jun mengambil masa sekitar 5 jam. Manakala 13 jam pula terpaksa ditempuh untuk sampai ke Ranong, Thailand.

- Advertisement -

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, Haji Mohd Nizam Idris mengetuai pasukan Selangor berusaha keras untuk menjayakan ziarah mahabbah ini. Empat pacuan empat roda sarat dengan barang-barang sumbangan berjaya melepasi pemeriksaan imigresen dan sekatan jalan raya sepanjang jalan menuju ke Ranong, Thailand.

Jarak tidak menghalang Yayasan Amal Malaysia untuk melebarkan khidmat bakti mereka kepada bangsa Melayu beragama Islam yang perlu dibantu di Selatan Myanmar. Pasukan YAM memasuki Myanmar melalui Ranong dan menaiki bot sekitar 45 minit menuju ke Kawthoung, Myanmar.

Program yang dirancang selama sebulan itu akhirnya menjalinkan kemesraan seolah-olah rakan karib yang terpisah lama, sedangkan kunjungan YAMCS ini adalah kali pertama.

Inilah hebatnya jika tali persaudaraan itu diikat atas dasar perhambaan diri kepada yang ‘Satu’. Atas nama Islam, kami berusaha merentasi lautan Andaman dengan menggunakan bot dan berhadapan dengan tiga sekatan pihak berkuasa Thailand dan Myanmar.

Petang Jumaat, 27 Jun Ahli Jawatankuasa dan relawan Yayasan Amal Malaysia sampai ke jeti Kawthoung, selatan Mynamar. Ziarah mahabah ini membawa amanah besar iaitu sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada masyarakat yang memerlukan di empat buah kampung dalam selatan Myanmar.

Pergerakan kami dari satu kampung ke kampung yang dituju memerlukan masa lebih 40 minit, dengan menaiki kenderaan `Tuk tuk’ memuatkan 10 orang. Jalan yang berlopak dan sempit itu juga memerlukan pemandu tuk tuk yang cekap.

Haji Mohd Nizam, Ahli Jawatankuasa dan relawan dari Yayasan Amal Selangor telah menyampaikan 450 naskah al-Quran kepada wakil masjid dan madrasah. Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor turut membawa telekung, sejadah, jubah lelaki, kain pelekat, pakaian kanak-kanak, tudung dan semua ini adalah hasil sumbangan orang ramai serta kedai pakaian di Selangor.

Turut menyertai ziarah mahabbah ini, Pengerusi YAM Kelantan, Bendahari YAM Pusat serta relawan dari ibu pejabat YAM dengan membawa sumbangan masing-masing.

Penambahbaikan masjid tertangguh

Dimaklumkan terdapat beberapa buah masjid yang digunakan penduduk namun masih memerlukan dana untuk membuat penambahbaikan. Antaranya masjid Kampung Teluk, Sepuluh Batu masih belum mempunyai tandas yang sempurna. Tempat wudhu untuk wanita masih terdedah, begitu juga tiada tempat solat wanita. Masjid tersebut boleh memuatkan sekitar 200 jemaah lelaki namun prasarana masjid masih banyak yang perlu penambahbaikan.

Ada pembinaan masjid yang sampai 10 tahun tetapi masih belum siap dengan sempurna. Manakala tapak masjid tersebut hampir 100 tahun. Hasil sumbangan orang ramai dari Malaysia, masjid tersebut berjaya dibina tetapi masih banyak yang perlu dibuat penambahbaikan.

Pendidikan Pondok pilihan utama Melayu Myanmar

Delegasi Yayasan Amal Malaysia turut menyantuni guru dan pelajar di Pondok Al-Islahiah Ad-Diniyah, Pulau Chang Pa, Pulau Dua. Pondok Al-Islahiah masih mengekalkan pondok tradisional iaitu dinding papan dan bumbung atap. Melihat keadaan pondok tersebut, hanya boleh memuatkan seorang pelajar sahaja.

Seramai 80 orang pelajar lelaki yang belajar sepenuh masa di pondok tersebut. Makala 70 orang pelajar perempuan hanya hadir ke pondok tersebut selepas habis waktu belajar di sekolah kerajaan.

Menurut Cikgu Nizam yang berbual dengan Mudir pondok tersebut, “Ibu bapa di sini mementingkan pendidikan agama Islam, sebab itu anak-anak perempuan yang belajar di sekolah kerajaan, sebelah petang dihantar ke pondok Al-Islahiah untuk mendapatkan pendidikan agama.”

Katanya, itu membuktikan bahawa masyarakat Melayu Islam di selatan Myanmar sangat mementingkan pendidikan agama Islam tanpa mengira anak lelaki atau perempuan.

Melihat keadaan pondok yang berada di sekelililing kawasan itu sangat dhaif. Banyak dinding yang kelihatan sudah uzur dan perlu dibaiki.

Kehadiran relawan Yayasan Amal Malaysia disambut dengan penuh ceria oleh ustaz dan ustazah. Walaupun kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu tetapi mereka tetap melemparkan senyuman kepada pasukan Yayasan Amal Malaysia.

Pasukan YAMCS mendapati, prasarana masjid dan pendidikan khususnya sekolah pondok atau madrasah perlu diberi perhatian bagi menjamin keselesaan anak-anak meneruskan pembelajaran dan beribadat.

Bagi menjalin ukhuwah ikatan persaudaraan dalam rumpun bangsa Melayu dan berbangsa Islam, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor menyediakan wadah untuk rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu umat Islam di Selatan Myanmar.

Walaupun jauh beratus batu tapi hubungan sebangsa dan satu agama tidak akan terpisah, kerana bangsa dan agama menyatukan persaudaraan bukan sahaja di dunia malahan sampai akhirat.

Ahli Jawatankuasa dan relawan Yayasan Amal Malaysia sangat bertuah dapat bersama-sama dengan penduduk tempatan di Kampung Kuala Chang Pa, Kampung Tanjung Bedak, Kampung Ulu, Kampung Telok dan Kampung Sungai Gelama, melihat sendiri kehidupan harian mereka.

Mereka memerlukan bantuan kewangan dan sokongan moral dari umat Islam di Malaysia. Bagi dermawan, ahli korporat atau sesiapa sahaja yang berhajat mahu membantu umat Islam di Selatan Myanmar, boleh hubungi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor atau sumbangan terus ke akaun Maybank 562106222825. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -