Muktamar Muslimat Selangor perkasa semangat juang

- Advertisement -

KLANG: Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan mengingatkan pentingnya peranan muslimat dalam perjuangan Islam dan menyeru berkerja bersama-sama sebulat suara dengan iman, hikmah dan kebijaksanaan. 

- Advertisement -

Beliau turut menyeru ahli untuk meningkatkan usaha dakwah dan kebajikan kepada masyarakat, ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor Kali Ke-38, di sini kelmarin.

“Saya mengalu-alukan penglibatan generasi muda, malah telah menempatkan hampir 40 peratus muslimat muda ke dalam saf kepimpinan negeri dan harian untuk memberi peluang mereka belajar bab kepimpinan daripada muslimat lama.

“Walaupun pimpinan silih berganti namun anak muda terus mewarisi dan menyambung mata rantai perjuangan daripada bonda-bonda muslimat sebelum ini,” katanya.

Muktamar tersebut menyaksikan tiga jawatan utama iaitu Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua kekal diterajui Ustazah Wan Hasrina, Ustazah Noraini Hussin dan Dr Izzah Ibrahim, sekali gus membuktikan keyakinan ahli terhadap kepimpinan sediakan ada.

Majlis gilang gemilang penuh semangat perjuangan ini telah dirasmikan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dengan turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.

Hadir sama pimpinan Srikandi BERSATU Selangor iaitu Sharifah Rosaliza Syed Othman, Julia Mohd Hanapiah, Nurulhuda Md Yunus dan Fazlina Ismail serta pimpinan Wanita BERJASA Pusat iaitu Ustazah Siti Imi Kalsom Hussin dan, Datin Asmahan Zaidon.

Wan Hasrina dalam ucapannya turut memuji perbahasan oleh para perwakilan Muslimat PAS Kawasan-kawasan yang disifatkannya banyak melontarkan idea-idea baharu untuk menjadi rujukan dan panduan kepada kepimpinan.

Muktamar turut meluluskan usul mengenai mengawal penjualan vape atau rokok elektronik di negeri Selangor di mana ia telah diterima sebulat suara oleh semua perwakilan tanpa bahas.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bangi, Hamsatul Hamzah ketika mengemukakan usul itu menyatakan bahawa pihak kerajaan seharusnya mengambil pendekatan tegas dalam mengawal penjualan vape demi melindungi masa depan generasi muda.

“Usul ini atas dasar penuh tanggungjawab terhadap kesejahteraan anak muda khususnya di negeri ini. Perkara ini penting kerana berkait dengan isu kesihatan awam, keruntuhan sosial dan masa depan generasi pelapis akibat penjualan vape yang semakin berleluasa,” ujarnya.

Katanya, penggunaan vape semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah bahkan premis berkenaan tumbuh tidak terkawal dan sangat mudah didapati oleh anak-anak sekolah.

Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan, premis baharu yang dibuka berhampiran sekolah, pusat tuisyen dan kawasan tumpuan remaja. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -