Teraju Pahang: PAS sedia ‘Hogoh Jelai’ raih kemenangan

- Advertisement -

BENTONG: PAS Negeri Pahang sedang menyusun Himpunan 30K Jentera Perikatan Nasional (PN) Pahang dengan membawa tema “Teraju Pahang, Hogoh Jelai” yang akan diadakan di DUN Jelai, di sini pada satu tarikh bakal diumumkan nanti.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, Jelai menjadi antara sasaran PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU16) akan datang biarpun ramai akan menganggap ia tindakan ‘gila’ kerana DUN tersebut merupakan kawasan ‘Abang Long’.

“Ada orang kata mustahil. Apa pula mustahil? Kita lawan dia (Umno) sejak tahun 1952. PAS Pahang ditubuhkan pada tahun 1952, sejak tu kita lawan Umno.

“PAS sentiasa istiqamah untuk berjuang, hinggakan di kerusi-kerusi yang hilang deposit pun kita lawan jugak sampai orang kata kita gila. Hilang deposit lawan jugak.

“Tetapi berkat istiqamah akhirnya tempat yang kita hilang deposit tu, menang besar,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur.

Menurut Ustaz Rosli, biarpun Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi ‘teras’ kerusi DUN Jelai sejak tahun 1999, PAS tidak pernah gentar kerana tidak ada yang mustahil di sisi Allah jika Dia berkehendak menganugerahkan kemenangan.

“Nak menang macam mana? Orang Asal setakat ni dia adalah penyokong Barisan Nasional (BN). Orang Asli ni manusia ke peti sejuk? Manusia, ada hati ada perasaan kan? Tinggal lagi tiada sentuhan daripada kita yang dapat mengikat hati dia lagi.

“Tapi insya-Allah, kita akan teruskan. Hati ni milik Allah. Hati ni boleh berubah. Kita akan buat kerja bersama GERAKAN, bersama BERSATU, kita akan buat program yang kita panggil ‘Operasi Hogoh Jelai’,” maklumnya.

Sementara itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung (MAT) PAS Kawasan Bentong kali ke-41 kelmarin, beliau turut optimis mensasarkan sekurang-kurangnya satu kerusi dari Parlimen Bentong mampu dimenangi dalam kerangka ‘Teraju Pahang’.

“Jangan kata mustahil, tiada yang mustahil di sisi Allah, tinggal lagi kita bekerja bersungguh-sungguh, kita berdoa, kita bertawakal mengharapkan sepenuhnya kepada pertolongan Allah.

“Biar dia (Umno) pening, dia tengok, ‘Apalah puak-puak ni, tempat yang aku paling kuat pun dia nak rempuh juga’, kita nak ‘hogoh’ tempat hak paling kuat tulah, bila longgar skru dia kat situ, hak lain ikut tercabut,” katanya.

Namun begitu ujarnya, PAS tidak akan menolak jika diajak berunding untuk usaha ke arah penyatuan Melayu-Islam, tetapi jika keadaan begini berterusan maka PAS tiada pilihan melainkan akan terus merempuh BN-PH pada PRU16 nanti.

“Kita nak bagitahu ke Umno, sekuat mana pun dia, kita akan langgar, kita akan rempuh, kita akan hogoh!” ujarnya diiringi laungan takbir lebih 170 orang perwakilan dan pemerhati MAT Bentong yang menyaksikan keputusan semua calon menang tanpa bertanding. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -