Aktiviti cetus keliru, kerajaan tegas jaga sensitiviti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius penganjuran program berkaitan kesedaran HIV di sebuah banglo di Kemumin, baru-baru ini, tanpa sebarang makluman rasmi kepada pihak berkuasa negeri atau agensi penguat kuasa berkaitan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, biarpun penjelasan telah dibuat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa ia bukanlah ‘pesta gay’ seperti ditularkan, namun pelaksanaannya tanpa melalui saluran betul adalah amat tidak wajar.

“Kerajaan negeri tidak menolak usaha pencegahan HIV atau apa-apa program kesihatan. Tetapi sebarang bentuk penganjuran, walaupun bertujuan baik, wajib dilaksanakan dengan penuh tertib dan mematuhi prosedur serta peraturan sedia ada,” tegasnya.

Menurutnya, pemakluman lebih awal kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan amat penting bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham atau persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Pemilihan tempat dan masa juga perlu dibuat secara bijaksana. Penganjuran program hingga jam dua pagi di kawasan kampung seperti Kemumin jelas menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri kekal komited untuk memelihara keharmonian sosial dan ketenteraman awam, dan tidak akan berkompromi terhadap penganjuran program yang menimbulkan kekeliruan atau menggugat nilai moral masyarakat.

“Walaupun niat asal program itu adalah kesihatan dan pencegahan, tetapi apabila tidak melalui saluran kelulusan sewajarnya, ia boleh mencetus salah tanggap serta mencemarkan imej pentadbiran negeri.

“Kita difahamkan bahawa Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri sendiri pun tidak dimaklumkan lebih awal tentang penganjuran program ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak termasuk NGO mengambil iktibar daripada insiden ini dan memastikan penjelasan awal serta terbuka diberikan jika terlibat dengan program seumpama itu pada masa depan.

“Kelewatan memberi penjelasan hanya akan mengundang pelbagai tafsiran yang akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -