
KUALA LUMPUR: Sabri Azit (PN-Jerai) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, membangkitkan isu berkaitan peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih kemudahan asas di kawasan luar bandar yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Beliau memohon penjelasan daripada pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengenai status tiga kemudahan utama di Parlimen Jerai yang memerlukan perhatian segera.
“Terdapat tiga jambatan yang perlu dinaiki taraf di Kampung Pulau Mas, Mukim Salar Besar, jambatan berhadapan Masjid Kampung Ulu, Dulang Besar dan naik taraf jambatan kayu berhampiran Surau Haji Ismail, Kampung Ulu, Dulang, runtuh akibat banjir.
“Adakah pihak kementerian sudah memulakan peruntukan tersebut seperti yang saya sebutkan, di semua parlimenlah termasuk ke parlimen saya?” soal beliau dalam sesi soal jawab tersebut.
Dalam jawapan balas, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, menyatakan bahawa KKDW melaksanakan pelbagai projek luar bandar termasuk bekalan air, elektrik, jalan, jambatan dan program ameniti sosial bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa peruntukan khas yang sedia ada adalah terhad dan tidak mencukupi untuk menampung semua permohonan diterima dari seluruh negara.
“Bagi tiga projek yang disebut oleh Yang Berhormat, saya tidak mempunyai data terperinci pada masa ini. Justeru itu, saya akan memberikan jawapan secara bertulis berkenaan status permohonan dan kelulusan ketiga-tiga projek tersebut,” katanya.
Sesi soal jawab kepada Rubiah itu sebelum ini bermula dengan pertanyaan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Port Dickson)
Beliau meminta menyatakan status semasa pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang, Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek serta jambatan baharu Sungai Lukut seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pembentangan Belanjawan Tahun 2023 dan 2024. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











