
KUALA LUMPUR: Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mencadangkan kerajaan mempertimbangkan ganjaran kepada pemberi maklumat sebagai langkah memperkukuh keberkesanan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan amalan antarabangsa yang telah terbukti berjaya menggalakkan lebih ramai tampil mendedahkan salah laku dan penyelewengan.
“Jika kita menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat tampil ke hadapan, kerajaan perlu mewujudkan ganjaran ataupun apa-apa pertimbangan bersesuaian bagi memastikan keberkesanan akta ini.
“Ini bukanlah sesuatu yang asing dibandingkan dengan pengalaman di peringkat antarabangsa. Banyak negara telah melaksanakan sistem ganjaran kepada pemberi maklumat sebagai dorongan untuk mendedahkan salah laku dan penyelewengan.
“Sebagai contoh, di bawah Akta di Amerika Syarikat,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sejauh mana pertimbangan kerajaan berhubung pengenalan ganjaran tersebut.
“Saya yakin aspek ini pastinya telah pun dibincang oleh kerajaan sepanjang libat urus berkaitan dengan pemegang taruh yang berkaitan.
“Namun, mengapakah ianya tidak dijelaskan menerusi pindaan ini? Apakah kekangan yang menyebabkan kerajaan tidak menetapkan ganjaran ini? Saya mohon penjelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











