
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menegaskan bahawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat 2025 mestilah benar-benar menjamin keselamatan dan keadilan kepada pemberi maklumat, bukan sekadar bersifat kosmetik atau menjadi alat politik.
Berucap ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, beliau memetik sejarah pembentangan asal Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang bertujuan memberi kekebalan undang-undang kepada pemberi maklumat daripada tindakan sivil, jenayah dan tatatertib.
“Pada ketika itu, Timbalan Menteri Undang-Undang menyatakan dengan jelas tujuan atau pun asas-asas pertimbangan untuk dibentangkan rang undang-undang pada masa itu dan menjadi akta sekarang ini.
“Antaranya adalah berasaskan kepada yang pertama pada masa itu, tidak ada peruntukan khusus dalam undang-undang yang sedia ada
yang memberi perlindungan kepada pemberi maklumat selain daripada informal dan juga saksi,” katanya.
Beliau menegaskan, undang-undang sedia ada ini tidak mencukupi untuk melindungi pemberi maklumat atau ‘whistleblower’.
“Undang-undang khusus berhubung perlindungan pemberi maklumat akan menggalakkan penjawat awam dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kelakuan tidak wajar tampil dan mendedahkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu.
“Perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat iaitu berbentuk kekebalan imuniti daripada tindakan sivil jenayah dan tatatertib ataupun dalam bahasa Inggeris, dengan izin ‘protection against the trimental action’. Itu antara tugasnya.
“Jadi apabila kerajaan membuat pindaan kepada Akta 711 ini sudah tentulah kita mengharapkan tujuan pindaan ini tidak lari daripada tujuan ianya dibuat,” tegas beliau.
Menurut beliau, selain daripada Akta 711 yang sedia ada, pihak berkuasa khususnya SPRM dan juga bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan satu garis panduan yang dipanggil garis panduan perlaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Namun menurut beliau, pelaksanaan akta sedia ada seringkali tidak mesra pelapor dan mengandungi banyak kekangan teknikal seperti kes seorang pemberi maklumat, Albert Tei yang dinafikan perlindungan hanya kerana mendedahkan kepada media sebelum membuat laporan kepada SPRM.
“Dengan jelas Menteri mengatakan bahawa, orang yang saya tanya yang bernama Albert Teh itu, tidak mendapat perlindungan kerana dia pergi kepada media terlebih dahulu, walaupun telah dibuktikan selepas itu dia pergi membuat laporan kepada SPRM.
“Dan apabila saja bertanya jugak kenapa dia tidak mendapat kekebalan, ini jawapan menteri, saya nak jawab secara general, saya tak nak pergi kepada kes sebab pada saya, kalau kes dalam proses berjalan boleh dilihat sebagai subjudis, lagi-lagi subjudis,” bidasnya.
Beliau menegaskan dalam peraturan mesyuarat 23 (1)G ada melarang perkara-perkara yang ada dalam mahkamah disebut subjudis, namun jika diteliti lagi dalam peraturan sama itu, ia membawa maksud yang lain.
“Sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikarangkan cakapnya, sekira-kira harus menggelencongkan perkara yang sedang dibicarakan oleh mahkamah, atau dalam bahasa Inggeris lebih senang, ‘a question should not be so drafted, as to be, likely to prejudis a case under trime’,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan bukan semua perkara yang ada dalam mahkamah subjudis, sebaliknya jika perkara itu menjadi prejudis kepada kes barulah ianya dikatakan subjudis.
“Jadi dalam menjawab soalan sekali lagilah saya menuntut jawapan daripada Yang Berhormat Menteri kenapa pemberi maklumat dalam kes Sabah ini dalam kes mineral Sabah, telah dituduh di mahkamah, tidak ada jaminan dan sebagainya,” tambah beliau lagi.
Dalam perbahasan tersebut, Takiyuddin turut mengulas cadangan kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat melalui peruntukan baru Seksyen 5A, namun beliau mempersoalkan kebebasan jawatankuasa tersebut memandangkan ia hanya akan dilantik oleh Menteri Undang-Undang.
“Kredibiliti jawatankuasa ini bergantung kepada proses pelantikannya. Jika ia dibuat sepenuhnya oleh Menteri, tanpa campur tangan Parlimen atau badan bebas, ia terdedah kepada risiko manipulasi politik,” katanya
Takiyuddin mencadangkan agar proses pelantikan dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas atau Yang di-Pertuan Agong, seperti yang diamalkan dalam pelantikan Jawatankuasa Khas SPRM.
Beliau menegaskan, pindaan dicadangkan perlu benar-benar memperkukuh sistem perlindungan dan galakan kepada mereka yang tampil menentang rasuah dan salah guna kuasa, serta memastikan tidak ada pelapor dizalimi kerana keberanian mereka.
“Saya menyokong pindaan yang baik tetapi mengharapkan jawapan supaya ianya dapat memastikan kebaikan,” katanya mengakhiri perbahasan. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











