
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat dilihat sebagai satu langkah penting ke arah reformasi institusi dan tatakelola negara lebih telus serta berani.
Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh keberanian moral rakyat dalam menegakkan kebenaran dan menentang rasuah serta penyelewengan.
“Memberi maklumat ini adalah tindakan berani. Ia bukan sekadar isu undang-undang, tetapi soal keberanian moral untuk menegakkan kebenaran dalam sistem kita,” katanya ketika sesi perbahasan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, beberapa aspek penting dalam RUU ini seperti penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat adalah dialu-alukan, namun menuntut ketelusan dan kebebasan dari sebarang campur tangan politik.
“Sejauh mana jawatankuasa ini bebas daripada tekanan politik dan institusi? Mengapa tidak ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas? Kita cadangkan agar laporan tahunan jawatankuasa ini dibentangkan di Parlimen secara berkala,” ujar beliau lagi.
Tambahnya, langkah peluasan perlindungan kepada pemberi maklumat melalui rujukan kepada Akta Perlindungan Saksi juga adalah positif, namun masih belum menyeluruh.
“Kerajaan perlu pertimbang sokongan psikologi, perlindungan kerjaya dan sumber pendapatan serta penempatan semula bagi pemberi maklumat yang terdedah kepada risiko,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal implikasi kewangan yang disebut dalam RUU, namun menegaskan bahawa perlindungan kepada pemberi maklumat adalah satu bentuk pelaburan bagi negara.
“Jika kita benar-benar ingin membanteras rasuah dan penyelewengan, maka melindungi pemberi maklumat adalah pelaburan yang sangat berbaloi. Negara lebih rugi jika kebenaran terus dibungkam kerana ketakutan,” katanya.
Fathul Huzir juga menekankan keperluan membudayakan keberanian dalam institusi, dan tidak hanya menghukum mereka yang membocorkan maklumat, tetapi lebih penting menghukum pelaku rasuah itu sendiri.
Beliau turut merujuk beberapa kes menunjukkan kelemahan sistem sedia ada seperti pendedahan kes NFC yang menyebabkan pendedah maklumat pula dikenakan tindakan undang-undang, serta isu pencemaran sungai menyebabkan pekerja dan aktivis alam sekitar diugut atau disaman selepas melaporkan salah laku.
“RUU 2025 ini adalah peluang terbaik untuk kita memperbaiki kelemahan yang ada. Tetapi ia hanya akan berjaya jika dilaksanakan secara jujur, bebas daripada campur tangan politik dan benar-benar melindungi mereka yang bersuara demi kebenaran,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











