
KUALA LUMPUR: Perlindungan kepada pemberi maklumat bukan hanya isu perundangan semata-mata, sebaliknya cerminan integriti moral dan tahap kebertanggungjawaban sesebuah negara.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) berkata, Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang akan diperkenalkan tidak menyentuh akar permasalahan, antara lain tiada kuasa semak agensi penguatkuasaan.
“Kita harus bertanya mengapa rakyat masih takut untuk tampil melaporkan salah laku? Kenapa pemberi maklumat lebih memilih untuk terus senyap atau pergi kepada media dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), bukan kepada agensi rasmi.
“Di United Kingdom ada Public Interest Disclosure Act yang melindungi pelapor walaupun laporan mereka ternyata salah, asalkan dibuat dengan niat baik. Di Amerika Syarikat ada Whistleblower Protection Enhancement Act.
“Ia memberi perlindungan kepada pemberi maklumat walaupun mereka melaporkan kepada kongres atau media, bukannya melalui jabatan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian di dalam Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tegas beliau, Malaysia memerlukan mekanisme perlindungan lebih menyeluruh bukan hanya kepada pemberi maklumat dalam sektor awam atau rasuah, tetapi juga dalam kes eksploitasi seksual.
“Dalam kes Yusoff Rawther, beliau tampil dengan akuan bersumpah mendakwa gangguan seksual oleh seorang pemimpin politik utama negara. Tapi apa jadi? Tiada perlindungan Akta 711.
“Kerana laporan itu dibuat melalui media dan bukannya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau agensi penguatkuasaan. Namun beliau tidak dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat 711.
“Jenis kes yang melibatkan salah laku seksual, tidak digariskan dengan jelas sebagai pendedahan salah laku awam yang layak mendapat perlindungan. RUU ini tidak mengubah realiti itu,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Perlindungan Pemberi Maklumat dan bukan sekadar menubuhkan jawatankuasa yang dilantik oleh menteri.
“Luluskan perlindungan untuk pelaporan kepada media, NGO atau ahli parlimen jika pelapor tidak yakin terhadap agensi rasmi. Pastikan pelapor dalam kes gangguan seksual, salah guna kuasa politik dan korporat diberi perlindungan tanpa prejudis.
“Mansuhkan frasa dengan sengaja dalam Seksyen 11 atau sekurang-kurangnya menetapkan keperluan bukti niat yang sangat tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











