Kerajaan Kedah tidak abai isu sekolah vernakular

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah terus menunjukkan komitmen terhadap keperluan pendidikan semua kaum tanpa mengira latar politik, termasuk sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang kini berdepan pelbagai cabaran, terutamanya dari segi kekurangan murid dan isu penyelenggaraan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wong Chia Zhen berkata, walaupun sekolah-sekolah tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri tetap mengambil langkah proaktif membantu setakat yang termampu.

“Bagi kami, pendidikan tidak harus dipolitikkan. Murid-murid di sekolah ini tetap anak negeri Kedah yang berhak menerima perhatian dan sokongan sewajarnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Kewangan Bagi Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Negeri Kedah Tahun 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Maklumnya, sebahagian murid di sekolah vernakular kini datang dari pelbagai latar belakang termasuk Melayu, India dan Siam, mencerminkan fungsi SJKC yang semakin terbuka dan menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan antara kaum.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa sekolah jenis kebangsaan hari ini memainkan peranan dalam membina integrasi masyarakat, selain menjadi medan pendidikan berkualiti,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedar terdapat banyak SJKC mengalami masalah seperti bangunan yang memerlukan baik pulih, kekurangan kemudahan asas serta projek penyelenggaraan kecil tertangguh akibat kekangan dana.

“Diharapkan peruntukan ini dapat membantu pihak sekolah menyelesaikan keperluan asas serta mempertingkatkan suasana pembelajaran murid. Gunakanlah dana ini dengan penuh amanah dan hikmah,” katanya lagi.

Majlis penyerahan tersebut menyaksikan beberapa sekolah terpilih menerima sumbangan kewangan secara simbolik sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan yang inklusif dan seimbang untuk semua rakyat Kedah. – HARAKAHADAILY 21/7/2025

- Advertisement -