Perlu teliti isu privasi, salah guna inisiatif digital

Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menyuarakan kebimbangan terhadap inisiatif-inisiatif digital seperti MyDigital ID dan sistem e-Gate yang dilihat menjejaskan privasi dan keselamatan pengguna.

- Advertisement -

Menurut beliau, jumlah 2.8 juta pendaftaran bagi inisiatif tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah pendaftaran bagi inisiatif lain seperti Pangkalan Data Utama (PADU) dan BUDI Madani.

“Tiga hari lalu kita dimaklumkan dengan gangguan sistem e-Gate di CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) Johor, dikatakan disebabkan oleh integrasi sistem MyIMMS ini. Inilah kebimbangan rakyat Malaysia terhadap inisiatif-inisiatif digital seperti ini.

“Kebimbangan terhadap akses dan keterangkuman digital, kepenggunaan meluas dalam sistem kritikal, kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan. Ini antara keraguan ataupun kebimbangan awam, umum terhadap inisiatif-inisiatif seperti ini,” katanya.

“Jadi sejauh mana kebimbangan-kebimbangan ini akan diambil kira untuk melaksanakan inisiatif MyDigital ID ini agar ia akan dapat dicapai matlamatnya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam jawapannya berkata, pihaknya telah mengambil langkah keselamatan bersama MyDigital ID bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa terpelihara.

“Data itu kita tidak simpan, tetapi itu adalah untuk memastikan supaya keselamatan itu dijaga dengan baik. Kerajaan juga sedang melihat kemungkinan untuk kita mewujudkan akta yang boleh menggalakkan ataupun mewajibkan rakyat untuk mendaftar MyDigital ID.

“Kita juga melaksanakan kerjasama-kerjasama dengan pelbagai pihak dan entiti termasuklah entiti swasta untuk kita juga meningkatkan penggunaan MyDigital ID ini,” katanya.

Datuk Seri Ronald dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan pelaksanaan inisiatif MyDigital ID setakat ini khususnya berkaitan pendaftaran MyDigital ID, integrasi sistem kerajaan dengan platform digital dan impaknya kepada penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -