
KLANG: Dewan Muslimat PAS Selangor adalah barisan hadapan dalam mendepani isu-isu sosial yang melanda masyarakat hari ini, demikian puji Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.
Menurut beliau, kelebihan Muslimat PAS dari segi pengalaman, pendekatan dengan masyarakat dan kekuatan pasukan menjadikan mereka sangat relevan untuk memimpin agenda perubahan sosial.
“Dewan Muslimat adalah dewan yang paling utama dalam mendepani isu sosial masyarakat kerana kebanyakan mereka mempunyai pengalaman dalam keluarga, pendekatan yang baik dengan masyarakat dan pasukan yang mantap dalam membincangkan isu-isu sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Selangor kali ke- 38 di Dewan Perkahwinan The Alnia, di sini semalam.
Beliau menekankan bahawa Dewan Muslimat perlu tampil bukan hanya untuk mengenal pasti masalah, tetapi juga menawarkan solusi konkrit dan menjadikan pendekatan itu sebagai wadah dakwah dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar perancangan strategik Muslimat tertumpu kepada tiga teras utama iaitu tarbiah, dakwah islamiyah dan dakwah islaḥiyah.
“Perancangan Dewan Muslimat mesti melihat kepada tiga perkara iaitu tarbiah, dakwah islamiyah dan dakwah islahiyah. Rangka strategik yang dibuat mestilah melangkahi ketiga-tiga aspek ini,” katanya.
Beliau berkata, dengan pendekatan itu Dewan Muslimat akan dapat memainkan peranan besar dalam menyelesaikan pelbagai isu masyarakat serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
“Insya-Allah, isu-isu sosial akan dapat ditangani sebaiknya dan seterusnya menyumbang kepada perhubungan dan kestabilan negara,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











