Rakyat tidak perlu gentar ke Himpunan Turun Anwar

Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KLANG: Kepimpinan negara ketika ini gagal mengurus masalah rakyat dengan baik, walaupun telah membuat beberapa percubaan untuk menanganinya.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kegagalan itu memberi kesan langsung kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau taraf hidup.

“Apa yang berlaku dalam negara kita ini harus diurus oleh kepimpinan negara dengan cara yang lebih baik daripada sekarang ini. Apa yang berlaku sekarang ini tidak menyelesaikan masalah.

“Kita nampak mereka mencuba, tapi percubaan itu tidak ke mana-mana. Orang kaya terkesan, peniaga terkesan, orang kampung pun terkesan. Semua rasa terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Selangor di Dewan Perkahwinan The Alnia, di sini semalam.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menegaskan, bahawa rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka secara terbuka dan aman, termasuk melalui penyertaan dalam Himpunan Aman pada 26 Julai ini.

“Masing-masing ada tanggungjawab untuk menyuarakan pendapat. Peluang untuk menyuarakan rasa hati mereka pada 26 Julai ini adalah satu kaedah yang terbaik.

“Ini perkara biasa di seluruh dunia. Sejak sekian lama, suara hati rakyat turun ke jalan raya atau demonstrasi ini telah berlaku dalam negara kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut membidas sikap kerajaan di mana kini, seolah-olah menghalang rakyat daripada berhimpun secara aman, sedangkan mereka sendiri pernah menggerakkan demonstrasi ketika menjadi pembangkang.

“Hatta pihak yang menjadi kerajaan sekarang pun dah biasa dengan demonstrasi. Jadi kenapa pula bila ada pihak lain rasa tidak puas hati, mereka pula dihalang?” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak gentar untuk menyuarakan pandangan dan memberi jaminan bahawa himpunan aman yang dirancang akan berlangsung dalam keadaan terkawal.

“Saya rasa tidak perlu ditakuti oleh rakyat. Insya-Allah semuanya terkawal,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihak penganjur sudah membuat pemakluman kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Mohamed Usuf berkata, seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam.

Beliau menjangkakan orang ramai mula berkumpul seawal jam 11 pagi di empat lokasi yang sudah dikenal pasti sebelum masing-masing berarak ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 petang.

Tiada penutupan jalan dirancang setakat ini namun ia bergantung kepada situasi semasa dan hanya akan dilakukan sekiranya keadaan memerlukan. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -