Kejayaan pelaburan bukan hak eksklusif kerajaan

Kerajaan Umno Pahang jangan sombong

Hassanudddin Salim
- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanudddin Salim mengingatkan Kerajaan Negeri Pahang supaya tidak terlalu berbangga dengan kejayaan pelaburan yang diumumkan baru-baru ini.

- Advertisement -

Sebaliknya ujar beliau, kerajaan negeri sepatutnya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang terhadap pencapaian tersebut.

Beliau berkata, pelaburan berjumlah RM4 bilion direalisasikan dalam separuh pertama tahun ini adalah satu pencapaian wajar dihargai, namun ia bukan alasan untuk menyindir atau merendah-rendahkan kemampuan negeri lain yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

“Tahniah kepada rakyat Pahang. Ini satu pencapaian yang patut dihargai. Namun apabila ada suara yang menyindir, kalau PAS-PN perintah Pahang, boleh ke jadi macam ni?

“Pelabur takkan masuk kalau PAS perintah… Tengok Kelantan, Terengganu. Kami ingin jawab secara jujur dan berdasarkan fakta. Jangan pilih satu angka dan buat kesimpulan besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS turut mencatatkan kejayaan dalam menarik pelaburan, termasuk Kedah yang kini berada dalam kelompok negeri tertinggi dari segi pelaburan diluluskan.

“Pada tahun 2023, Kedah meluluskan pelaburan berjumlah RM28.7 bilion, manakala bagi tahun 2024, ia meningkat kepada RM45.8 bilion. Manakala pelaburan direalisasikan pula berjumlah RM9.11 billion bagi separuh tahun 2025 dan RM20.38 billion bagi 2024.

“Kedah kini berada dalam kelompok negeri teratas dari segi pelaburan negara. PAS-PN mentadbir, pelabur masuk. Itu fakta,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Hassanuddin turut membandingkan prestasi negeri Terengganu yang mencatat jumlah pelaburan lebih tinggi berbanding Pahang pada 2023, walaupun tanpa kemudahan pelabuhan mega.

“Tapi tiada pula kenyataan dari pemimpin Terengganu yang memperlekeh negeri lain,” ujarnya.

Sementara itu, Kelantan juga terus stabil dengan pelaburan dalam sektor bersesuaian seperti industri halal, mineral dan pertanian berteknologi, meskipun berdepan kekangan infrastruktur dan ketiadaan projek mega bernilai puluhan bilion ringgit.

“Semua ini dicapai tanpa jaringan lebuh raya bertaraf Persekutuan, tanpa pelabuhan dan tanpa projek mega berpuluh bilion. Tapi tetap stabil dan terus membangun,” katanya.

Tambahnya, kejayaan pelaburan adalah hasil usaha kolektif pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Pusat dan negeri, dasar pentadbiran yang konsisten serta sokongan rakyat tanpa mengira parti politik.

“Pahang memang patut dapat pelaburan besar, tapi jangan jadikan ia modal bongkak. Kita akui Pahang memang ada kelebihan LPT, CSR, Kuantan Port, ECRL, zon industri Gebeng, pelabuhan.

“Dan sumber semula jadi, jarak dekat dengan Lembah Klang. Jadi memang sepatutnya Pahang capai angka besar, bukan luar biasa pun.
Ini hasil infrastruktur dan dasar kerajaan terdahulu yang dibangunkan sejak berdekad, bukan hasil semusim.

“Pelaburan adalah usaha bersama, bukan hak mutlak satu-satu parti. Kejayaan pelaburan bukan milik sesiapa. Ia hasil usaha agensi pusat dan negeri, sokongan dasar kerajaan terdahulu.

“(Juga) rakyat yang bekerja keras tanpa kira parti, tiada siapa boleh mendabik dada seolah-olah pelaburan ini eksklusif miliknya semata-mata,” katanya.

Mengulas potensi PAS mentadbir Pahang, beliau yakin prestasi pelaburan negeri tidak akan terjejas, malah berkemungkinan menjadi lebih baik dengan tadbir urus yang bersih dan berintegriti.

“Bagaimana jika PAS-PN tadbir Pahang? Jawapannya bukan sahaja boleh, bahkan Insya-Allah akan lebih baik. Mengapa? Kerana pelabur bukan hanya lihat projek atau geografi. Mereka cari, Integriti, kestabilan dasar dan urus tadbir yang bersih.

“Inilah kekuatan PAS. Kita tak bergantung kepada retorik. Kita tunjuk bukti, seperti di Kedah. Kita dah dengar ‘buah tanggung’ sejak tahun 60-an, kononnya PAS mundur. Tapi hari ini, realiti berubah.

“PAS kian subur, negeri-negeri PAS stabil dan menarik pelabur. Bukan dengan slogan, tapi dengan kerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -