
KOTA BHARU: Merdeka Batik Fun Walk 2025 yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini menyasarkan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan lebih 2,000 peserta dari seluruh Kelantan dan negeri-negeri jiran.
Acara yang julung kali diadakan itu akan berlangsung bermula jam 6.30 pagi bertempat di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu.
Pengarah Program, Dato’ Nik Ahmad Adib Nik Ismail berkata, program itu bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan kemerdekaan, malah menjadi platform menyemai semangat patriotik melalui warisan tempatan.
“Kami mahu menjadikan program ini sebagai satu platform rakyat Kelantan menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat, namun dalam suasana santai dan meriah,” katanya.
Beliau berkata penganjuran acara ini turut mendorong masyarakat menghargai budaya dengan menjadikan batik sebagai simbol utama dalam sambutan tersebut.
“Selain berjalan santai, kami juga ingin menyemai rasa bangga terhadap warisan tempatan melalui pakaian batik yang menjadi simbol keindahan budaya negeri ini,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan penyertaan besar-besaran itu sebagai manifestasi rakyat yang cintakan negara dan mahu meraikannya secara sihat dan berbudaya.
“Merdeka Batik Fun Walk bukan sekadar acara riadah, tetapi manifestasi perpaduan, cinta negara dan penghargaan terhadap identiti rakyat Malaysia,” ujarnya.
Acara anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu itu membawa tema “Langkah Amal Merdeka Bersama Batik Kelantan”.
Peserta akan menyertai perarakan santai sejauh dua kilometer sambil memperagakan pakaian batik serta jersi rasmi program yang berunsur semangat kebangsaan.
Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.
Setiap peserta bakal menerima t-shirt rasmi, beg sandang, e-sijil serta bendera mini sebagai simbol semangat kebangsaan.
Antara pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan pakaian terbaik, cabutan bertuah berupa sebuah skuter Lambretta yang berharga RM25,000 serta pameran produk tempatan dan batik Kelantan.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.pokb.org.my, Facebook Persatuan OKB atau hubungi 09-7421860. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











