
PUTRAJAYA: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perlis dalam satu lawatan kerja dan kunjungan hormat ke Perbadanan Putrajaya, di sini baru-baru ini.
Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Pasukan Teras Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 yang terdiri daripada PLANMalaysia@Perlis, Pejabat Projek Zon Utara PLANMalaysia, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Bahagian Kerajaan Tempatan dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Delegasi telah disambut oleh Naib Presiden Kanan Jabatan Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya, Shamsol Joehari Zainal Mokhtar.
Majlis dimulakan dengan taklimat berkaitan inisiatif bandar pintar yang disampaikan oleh Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Mohd Musabri Shaharom.

Menurut Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, kunjungan ini merupakan susulan kepada perkongsian ilmu bermanfaat oleh Perbadanan Putrajaya semasa Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Perlis pada tahun 2024.
“Perkongsian tersebut telah membuka peluang luas kepada Negeri Perlis untuk meneroka potensi pembangunan bandar pintar. Kerajaan Negeri kini dalam peringkat memuktamadkan dokumen Pelan Bandar Pintar Perlis 2030 yang akan menjadi hala tuju pembangunan pintar negeri ini,” katanya.
Kata beliau pelan tersebut memberi penekanan kepada aspek kesalinghubungan, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kelestarian bandar, sesuai dengan Perlis sebagai sebuah negeri kecil yang padat dengan potensi.
“Hasil awal pelaksanaan pelan tersebut telah membolehkan Majlis Perbandaran Kangar mendapat pengiktirafan Tahap 1 Smart City Early Adopter pada tahun 2024.
“Lawatan kerja ini juga bertujuan meneliti pengalaman Putrajaya yang telah mencapai Tahap 2: Developing Smart City dalam pelaksanaan Inisiatif Bandar Pintar Malaysia,” jelas beliau.
Delegasi turut dibawa melawat ke Putrajaya Urban Observatory (PUO), pusat pengurusan data yang komprehensif dan inklusif.
Menurut beliau, PUO menjadi penanda aras penting bagi cadangan penubuhan Command Center Negeri Perlis, inisiatif utama yang sedang dirancang oleh MPK dan Kerajaan Negeri.
“Command Center ini akan berperanan sebagai pusat kawalan, pemantauan dan integrasi data pintar di negeri ini. Lawatan ke PUO memberi gambaran jelas terhadap keperluan dan potensi sistem kawalan pintar yang efektif,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjalin kerjasama strategik dengan Perbadanan Putrajaya dalam menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Berkembar (Twin City) kepada Kangar.
“Memandangkan saiz dan bilangan penduduk kedua-dua wilayah ini yang hampir setara, kita percaya hubungan erat ini akan membuka ruang kepada pertukaran ilmu, amalan terbaik serta pembangunan bersama,” ujar.
Beliau berada di Putrajaya dan Kuala Lumpur selama beberapa hari atas urusan rasmi dan sebelum ini turut menghadiri beberapa mesyuarat penting termasuk Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Kali Ke-146 pada 14 Julai.
Juga Sesi Pembentangan Kajian Semakan Cukai Tanah 2026 pada 15 Julai, Majlis Mesyuarat Raja-Raja Ke-269 pada 16 Julai, Mesyuarat Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-48 serta mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Perlis Bil 17/2025. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











