Kejohanan Karom Terbuka Kedah 2025 tarik minat

- Advertisement -

KUBANG PASU: Seramai 600 peserta membanjiri Dewan Sinar Harapan, Jitra bagi menyertai Kejohanan Karom Terbuka Kedah 2025, sekali gus membuktikan sukan ini relevan dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia.

- Advertisement -

Kejohanan anjuran Locamasta Cafe Changlun dengan kerjasama Persatuan Karom Negeri Kedah dan Persatuan Karom Changlun ini dilaksanakan dalam dua kategori utama.

Iaitu kategori individu melibatkan 200 peserta dan kategori beregu membabitkan 200 pasukan atau 400 peserta, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan seramai 600 orang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Muhamad Radhi Mat Din.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan ini bertepatan dengan usaha menyemarakkan Tahun Melawat Kedah (TMK 2025) menerusi penglibatan dalam sukan pelancongan atau ‘sport tourism’.

“Kejohanan seperti ini bukan sahaja menjadi medium untuk mencungkil bakat, bahkan menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negeri untuk datang ke Kedah, khususnya ke daerah Kubang Pasu,” ujarnya dalam ucapan perasmian.

Muhamad Radhi turut menyeru para pengunjung untuk mengambil peluang menikmati makanan tempatan serta meneroka destinasi pelancongan menarik di Kedah sempena kehadiran mereka ke kejohanan ini.

Beliau turut menekankan bahawa sukan karom bukan sekadar hiburan ringan tetapi merupakan sukan yang menguji strategi, ketepatan, fokus dan kesabaran, sekali gus menyumbang kepada perkembangan minda serta hubungan sosial merentas generasi.

“Karom dahulunya hanya permainan santai, kini diangkat sebagai sukan yang diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Ia mempunyai peminat tersendiri dan mampu menarik perhatian semua peringkat umur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha pihak penganjur yang turut memberi tumpuan kepada penyertaan warga emas dalam kejohanan ini bagi memupuk gaya hidup sihat dan aktif.

Beliau turut mengingatkan peserta agar bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menjadikan kejohanan ini sebagai landasan memperkukuh ukhuwah sesama masyarakat. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -