
KUALA LUMPUR: Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Koordinator SMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menzahirkan komitmen untuk terus mendukung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
“SMB menyeru agar Ketua Hakim Negara yang dilantik dapat melaksanakan amanah ini secara beretika dan profesional, berlandaskan prinsip kebenaran serta keadilan yang tidak memihak.
“Pada masa yang sama, sebarang kepincangan atau persepsi negatif terhadap institusi kehakiman perlu diperbaiki secara tuntas dan berani, demi mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.
Menurut SMB, Malaysia pernah melahirkan tokoh-tokoh kehakiman yang dihormati atas integriti, prinsip dan ketegasan mereka dalam menjulang keadilan, antaranya Allahyarham Ahmad Ibrahim dan Allahyarham Tun Salleh Abas.
Legasi mereka, tegas SMB, harus dijadikan penanda aras dalam usaha memastikan institusi kehakiman kekal bebas, telus, dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik.
“Institusi kehakiman merupakan benteng terakhir dalam mempertahankan keadilan dan kebenaran. Justeru, SMB menyeru semua pihak agar memelihara martabat dan kewibawaan badan kehakiman.
“(Ini) demi masa depan negara yang lebih adil, berintegriti dan berdaulat,” katanya.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengumumkan pelantikan berkenaan berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan pada 17 Julai lalu.
Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











