Kezaliman terhadap kanak-kanak makin membimbangkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan bayi yang disifatkan sebagai tragedi kemanusiaan yang amat menyayat hati.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohamad Salleh berkata demikian merujuk kes bayi tiga bulan menjadi mangsa gangguan seksual yang dirakam dan disebarkan, serta kes pesara tentera memperkosa anak berumur 12 tahun hingga hamil.

“Ia menggambarkan betapa akhlak dan nilai kemanusiaan sebahagian masyarakat kita kini semakin parah dan tidak berperikemanusiaan.
Perbuatan seperti ini adalah satu pengkhianatan besar.

“Terhadap amanah Allah dan satu jenayah berat yang bukan hanya melanggar undang-undang negara, malah melanggar fitrah kemanusiaan dan batasan syarak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 19 sebagai peringatan terhadap akibat menyebarkan perbuatan keji dalam kalangan masyarakat beriman, di mana azab pedih menanti di dunia dan akhirat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan menyeluruh, termasuk menyiasat kemungkinan wujudnya rangkaian jenayah yang lebih besar di sebalik kes-kes tersebut.

Dalam masa sama, ibu bapa, pendidik dan masyarakat juga digesa agar memainkan peranan untuk mendidik dan memelihara anak-anak daripada sebarang bentuk ancaman.

“Kita mesti kembali memperkukuhkan pendidikan agama dan moral, agar nilai malu, ihsan dan takut kepada Allah dapat dijadikan benteng daripada perbuatan keji yang merosakkan masyarakat ini.

“Semoga Allah SWT memelihara anak-anak kita, dan memberi hidayah serta keinsafan kepada mereka yang masih belum kembali ke jalan-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -