
KLUANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang menyatakan kebimbangan terhadap kemunculan trend ‘S Line’ di media sosial yang kini semakin menular dalam kalangan anak muda.
Ketua Pemudanya, Muhammad Nazirul Munir Puniran berkata, trend itu tercetus daripada adegan drama Korea yang memaparkan garis merah digital keluar dari kepala watak sebagai simbol kekerapan hubungan intim.
“Lebih membimbangkan, trend ini kini sedang diikuti secara terbuka oleh remaja dan belia Muslim melalui pelbagai platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Ia menjadi satu bentuk normalisasi budaya maksiat
“Dan perbualan lucah secara terbuka yang bukan sahaja bertentangan dengan akhlak Islam, malah menjatuhkan maruah diri dan ummah,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Tegas beliau, tindakan bergurau secara terbuka berkaitan isu hubungan seks adalah satu pembukaan kepada pintu-pintu maksiat yang amat berbahaya kepada pemikiran dan tingkah laku anak muda.
“Trend ini jelas membawa pengaruh buruk terhadap pemikiran, tingkah laku dan hala tuju moral generasi muda. Ia bukan sekadar hiburan kosong, tetapi adalah sebahagian dari agenda normalisasi zina dan keruntuhan akhlak,” tegasnya.
Muhammad Nazirul turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah murka terhadap orang yang suka melakukan maksiat secara terang-terangan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, beliau menyeru seluruh anak muda agar menolak trend ini sepenuhnya dan tidak membiarkan diri hanyut dengan arus hiburan yang melalaikan dan menodai kemuliaan akhlak Islam.
“Kita adalah pewaris kepada perjuangan Islam dan pelindung kepada masa depan umat. Kami menyeru ibu bapa, guru, dan para pendakwah agar berperanan lebih aktif dalam membimbing anak-anak muda.
“Agar lebih berwaspada terhadap pengaruh budaya pop antarabangsa yang tidak mempedulikan batas agama. Trend maksiat bukan kebanggaan. Hentikan normalisasi dosa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











