Stesen pam atasi masalah banjir 227 ekar sawah

- Advertisement -

ARAU: Masalah banjir yang sekian lama membelenggu kawasan sawah di sekitar Simpang Empat akhirnya berjaya diatasi menerusi pembinaan sebuah stesen pam elektrik bernilai RM650,000 oleh Kerajaan Negeri Perlis.

- Advertisement -

Projek siap sepenuhnya pada 21 Mac lalu itu memberi kelegaan kepada hampir 250 pesawah di Kampung Bendang Baru, Tok Pulau, Chantek Bangun dan Bongor Kudong, yang sebelum ini bergelut hampir sedekad dengan isu sawah tenggelam setiap kali hujan lebat.

Stesen pam berkenaan berperanan mempercepatkan proses penyaliran air hujan keluar dari kawasan bendang, sekali gus menyelamatkan tanaman padi daripada kerosakan serta mengelakkan kerugian berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Desa Negeri, Razali Saad berkata, kejayaan pelaksanaan projek itu menandakan satu titik tolak penting dalam usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu berlarutan yang membelenggu pesawah setempat.

“Alhamdulillah, kita berjaya selesaikan masalah banjir yang telah timbul sejak bertahun-tahun lamanya. Tahun ini kita akhirnya dapat siapkan rumah pam seperti yang diharapkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek tersebut dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan kontraktor.

Tambah beliau, peruntukan khas sebanyak RM650,000 disediakan oleh kerajaan negeri sebagai komitmen langsung membantu para petani menangani cabaran dalam sektor pertanian, khususnya berkaitan bencana banjir.

Terdahulu, pada September tahun lalu, hujan lebat berterusan telah menyebabkan kira-kira 6,000 hektar sawah padi di Kedah dan Perlis ditenggelami banjir.

Keadaan itu menyebabkan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM40 juta dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 hektar kawasan sawah di Perlis turut terjejas.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat berkata, dua lagi stesen pam elektrik akan dibina di Guar Sanji dalam masa terdekat sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan isu sawah tenggelam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -