
JASIN: Usaha memelihara sejarah dan warisan keluarga merupakan satu langkah mulia harus dicontohi dalam membina jati diri bangsa yang berakar kepada nilai dan keturunan.
Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata demikian selepas menziarahi Galeri Al Jabbar yang diasaskan oleh Rusnan Arshad yang terletak di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai.
Menurut beliau, ia merupakan khazanah keluarga Abdul Jabbar yang sarat dengan nilai sejarah serta dokumentasi salasilah keturunan berasal dari Jawa Tengah dan telah menetap di kawasan itu sejak lebih 150 tahun lalu.
“Legasi keluarga Abdul Jabbar ini bukan sahaja membuktikan kekuatan jati diri dan keturunan, malah menjadi sumber inspirasi buat warga Jasin dan seluruh Negeri Melaka yang kaya dengan sejarah,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial.
Tambah beliau, galeri berkenaan telah dirasmikan pada tahun 2011 oleh Tun Dr Mohd Ali Rustam ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka, satu penghargaan besar terhadap usaha memelihara sejarah keluarga dan warisan tempatan.
Jelasnya, inisiatif itu turut menerima sokongan daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) melalui kolaborasi yang membuktikan komitmen terhadap kelangsungan warisan bangsa.
“Sesungguhnya kepimpinan-kepimpinan yang lahir, keluarga yang baik adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya. Mereka itu menjadi pelita dan obor kepada umat. Justeru, menghargai kewujudan dan sumbangan mereka adalah suatu usaha yang sangat murni.
“Saya mendoakan beliau supaya sentiasa diberi kesihatan oleh Allah SWT, dipanjangkan umur, diberi keberkatan di dalam umur dan semoga Allah membalas jasa yang yang setinggi-tingginya kepada beliau.
“Tahniah dan terima kasih kepada Tuan Haji Rusnan sekeluarga atas usaha yang luar biasa ini. Semoga warisan dan semangat perjuangan ini terus hidup dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











