Konflik Syria: Adakah Zionis Israel bakal bertembung dengan Turkiye?

- Advertisement -

BEBERAPA hari lepas dunia dikejutkan dengan serangan bertali arus tentera Zionis Israel ke atas Syria yang menyasarkan beberapa sasaran strategik seperti bangunan kementerian pertahanan Syria.

Zionis Israel memberi alasan, serangan tersebut adalah satu amaran ke atas pentadbiran baharu Syria di bawah pimpinan Ahmad al-Syara supaya tidak melepasi sempadan yang ditetapkan iaitu ancaman terhadap keamanan ke atas negara haram Israel.

Zionis Israel juga memberi alasan untuk mempertahankan ahli kumpulan Duruz iaitu penduduk Arab bukan Islam yang menghuni di Lubnan, Syria dan Palestin. Zionis Israel menyatakan terdapat perancangan penghapusan etnik ke atas kumpulan tersebut yang menghuni di kawasan Bukit Golan dan Selatan Syria.

- Advertisement -

Keadaan sudah reda dengan gencatan senjata yang diumumkan oleh pihak berkuasa Syria. Namun begitu ia sangat rapuh, potensi untuk berlaku ketegangan baharu sangat tinggi.

Umum mengetahui semua itu hanyalah alasan, hakikat sebenarnya Zionis Israel sedang melaksanakan agenda perluasan yang merangkumi Gaza, Tebing Barat, Selatan Lubnan dan Syria.

Umum juga mengetahui pimpinan baharu Syria berada di bawah pengaruh Turkiye yang meletakkannya sebagai pemerintah Syria selepas kejatuhan rejim Basyar al-Asad.

Turkiye mahu Syria berada dalam keadaan stabil bagi memastikan kesinambungan penyelesaian masalah jutaan pelarian Syria yang berada dalam negaranya yang menjadi beban politik dan bahan kempen utama parti pembangkang bagi menyerang parti pemerintah AKP pimpinan Erdogan.

Senario yang berlaku memberi kebaikan kepada Zionis Israel dan Amerika Syarikat khususnya dengan ketidakadaan pengaruh Republik Islam Iran di Syria. Namun dalam masa yang sama mereka juga bimbang dengan pengaruh Turkiye yang dibimbangi akan mengancam Zionis Israel satu hari nanti.

Justeru persoalannya, sampai bila Turkiye mampu bertahan dengan provokasi Zionis Israel?

Pertembungan yang bakal berlaku adalah antara Zionis Israel dan Turkiye. Namun apakah Turkiye sanggup mendepaninya yang akan melepasi batas hubungannya dengan Barat khususnya Amerika Syarikat.

Apa yang ditakuti oleh pihak Zionis Israel ialah senario penyatuan ummah yang berlaku antara seluruh umat Islam tanpa mengira etnik dan mazhab khususnya antara Turkiye dan proksinya serta RI Iran dan proksinya atas alasan menentang musuh yang satu iaitu Zionis Israel dan Imprelisma Barat.

Itulah yang diimpikan oleh umat Islam pada hari ini, walaupun ianya agak payah berlaku tetapi bukanlah mustahil. Oleh kerana itulah pihak Zionis Israel dan Barat sentiasa menyalakan api perbalahan mazhab dan etnik sesama umat Islam supaya mereka sentiasa bertelagah. 

Semoga Allah menyatukan umat Islam dan kita semua dapat melihat pembebasan Masjid al-Aqsa dan solat bersama-sama dengan saudara kita di Palestin satu hari nanti Insya-Allah. Sesungguhnya janji Allah itu adalah pasti dan hampir bagi orang-orang beriman.

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Antarabangsa dan Hal Ehwal PAS Pusat
ADUN Batu Buruk, Terengganu – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -