Jumaidin dinobat Tokoh Khas Pemuda PAS Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menganugerahkan Tokoh Khas Pemuda kepada Jumaidin Lakalla atas jasa dan bakti beliau terhadap usaha dakwah dan kebajikan kepada masyarakat, khususnya di negeri Sabah.

- Advertisement -

Beliau sangat dikenali sebagai seorang pendakwah yang aktif menyampaikan kuliah maghrib di surau dan masjid sekitar kawasan DUN Lamag, serta terlibat secara langsung dalam misi-misi kebajikan termasuklah pengedaran bakul makanan kepada masyarakat yang memerlukan.

Komitmen beliau terhadap pendidikan Islam juga wajar dicontohi. Sehingga kini, beliau berjaya menguruskan enam buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan sebuah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di kawasan Kinabatangan, memperkukuh sistem pendidikan Islam akar umbi di negeri ini.

Selain dakwah, kebajikan dan pendidikan, beliau pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mewakili PAS di kerusi DUN N.47 Kuamut, membawa suara perjuangan Islam ke pentas demokrasi dan memberikan cabaran bermakna kepada lawan politik di kawasan tersebut.

Dari sudut kepimpinan organisasi, Jumaidin kini memegang dua jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS negeri dan juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Kinabatangan, membuktikan keupayaan beliau dalam mengemudi strategi politik serta pentadbiran di peringkat negeri dan kawasan.

Anugerah itu disampaikan sebagai penghargaan kepada sumbangan besar beliau dalam memartabatkan dakwah, kebajikan, pendidikan dan perjuangan politik Islam di Sabah, khususnya di kalangan pemuda.

Menurut Ketua Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah, penganugerahan itu bukan sekadar simbol penghormatan, tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan kesungguhan beliau dalam memikul amanah perjuangan Islam secara menyeluruh, sama ada di medan dakwah, kebajikan mahupun siasah.

Majlis penganugerahan sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS negeri ke-38 di sini, semalam turut dihadiri oleh Persuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr. Aliakbar dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri. – HARAKAHDAILY 20/7/2025

- Advertisement -